Auto Added by WPeMatico
‘Saya akan ubah sikap’ – Suami tampil bersuara selepas dikecam netizen

![]()
PETALING JAYA – Lelaki yang tular didakwa menengking isterinya di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai tampil membuat permohonan maaf terbuka selepas insiden itu mengundang kecaman netizen.
Lelaki berkenaan, Mohd Hakeem, menerusi beberapa hantaran di Facebook memaklumkan dia mengakui kesilapan yang berlaku dan berjanji untuk memperbaiki sikapnya.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika dia mahu pergi bekerja manakala isterinya pula ingin menyambung kerja lebih masa (OT).
“Assalamualaikum kepada semua orang nak tahu cerita sebenar, aku nak pergi kerja, bini pula nak sambung OT. Itu yang aku marah,” katanya.
Mohd Hakeem turut memohon maaf kepada semua pihak yang terganggu dengan tindakannya itu.
“Maaf ya kalau dah buat anda semua terganggu. Biasalah insan yang lemah banyak kekurangan,” ujarnya.
Dalam hantaran berasingan, dia turut menyatakan kesediaan untuk mengubah sikap selain mendoakan kesejahteraan semua pihak yang terlibat.
“Sekali lagi saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam hidup saya. Insya-Allah saya akan ubah sikap saya yang tak baik.
“Saya doakan semoga semua yang terlibat dalam hidup saya diberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Insan yang penuh dengan kekurangan,” katanya.
Malah, lelaki itu turut memuat naik satu lagi hantaran menyatakan kesediaannya untuk berjumpa mana-mana individu yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan hantaran tular di Threads apabila seorang pengguna mendakwa menyaksikan seorang lelaki menengking isterinya yang sedang bekerja sambil mendukung anak kecil di hadapan sebuah restoran makanan segera di Senai. – KOSMO! ONLINE.
The post ‘Saya akan ubah sikap’ – Suami tampil bersuara selepas dikecam netizen appeared first on Kosmo Digital.
