Auto Added by WPeMatico

![]()
Saudara Pengarang,
Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak di Kampung Labu Lanjut, Sepang, Selangor yang suka membuang sampah di tempat tidak sepatutnya mencemarkan imej kawasan, selain menjadi tempat pembiakan haiwan perosak seperti tikus.
Apa yang lebih mendukacitakan, mereka melonggokkan sampah di luar tong kitar semula yang sepatutnya di isi dengan sampah seperti kertas, plastik dan sebagainya.
Sebagaimana semua sedia maklum, terdapat tong sampah besar disediakan pihak berkuasa di kawasan berhampiran untuk kemudahan mereka membuang sampah masing-masing.
Keadaan ini mengundang persoalan mengenai adab, sikap dan mentaliti masyarakat yang ada pada masa ini yang sesuka hati membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.
Ia bukan sahaja menyakitkan mata sesiapa yang memandang, tetapi turut meninggalkan bau busuk selain mengundang ‘kehadiran’ haiwan perosak seperti tikus, monyet serta anjing liar.
Untuk mengatasi masalah ini, pihak berwajib digesa memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.
Ini sekurang-kurangnya mereka yang ada keinginan untuk membuang sampah sewenang-wenangnya itu berfikir banyak kali kerana perbuatan mereka dipantau pihak lain.
Selain itu, perlu ada kesedaran sivik dalam jiwa masyarakat dan mesti bermula dari rumah atau sejak kecil serta bertimbang rasa dengan orang lain terutama pekerja pembersihan yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Fikirlah, jika kita membuang sampah di tempat sepatutnya, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban mereka.
Insan sedih
Sepang, Selangor
The post Tong kitar semula tempat buang sampah appeared first on Kosmo Online.
