Auto Added by WPeMatico

![]()
SEOUL: Gelombang haba melampau mengubah makna sebenar kemewahan di daerah elit Gangnam di Seoul apabila akses kepada penyaman udara kini menjadi pemisah antara golongan berada dan mereka yang serba kekurangan.
Kawasan mewah itu menjadi terkenal di seluruh dunia menerusi lagu hit Gangnam Style nyanyian bintang K-pop, Psy, pada 2012 yang memaparkan gaya hidup penduduknya yang sangat kaya.
Namun, di sebalik pangsapuri mewah bernilai jutaan dolar yang disejukkan oleh penyaman udara, penduduk di Kampung Guryong, salah satu kawasan setinggan terakhir di Seoul, terpaksa menanggung sakit kepala akibat cuaca yang amat panas.
“Cuaca terlalu panas sehingga sukar untuk bernafas,” kata seorang pendudukKampung Guryong , sebuah penempatan yang terdiri daripada pondok kayu dan kanvas yang menempatkan kira-kira 160 isi rumah, menurut pihak berkuasa.
Wanita itu, yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarganya, Jeong, atas faktor privasi, berkata, beliau tidak mampu memasang penyaman udara di rumah satu bilik yang didiaminya bersama suami dan anak perempuan kurang upaya.
“Golongan miskin benar-benar menderita,” kata wanita berusia lingkungan 60-an itu sambil membasuh sayur di hadapan rumahnya ketika suhu di luar mencecah 38 darjah Celsius.
Korea Selatan kini berdepan cuaca panas melampau, dengan rekod suhu tertinggi baharu dicatatkan tiga kali dalam tempoh seminggu, memuncak pada 42.5 darjah Celsius pada Ahad.
Ibu negara Seoul berada di bawah amaran gelombang haba teruk pada Selasa, buat kali pertama sejak kategori amaran baharu itu diperkenalkan tahun ini bagi memberi amaran kepada orang ramai mengenai cuaca ekstrem yang semakin meningkat.
Saintis berkata, kejadian cuaca ekstrem menjadi semakin kerap dan lebih teruk akibat perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia.
Namun, kesan gelombang haba tidak dirasai secara sama rata mengikut jurang kekayaan.
Di Gangnam, yang terletak di selatan Sungai Han, rumah berhampiran Kampung Guryong dijual pada harga sehingga 5.4 bilion won (RM15 juta) serta dilengkapi pelbagai kemudahan moden.
Jalan-jalan yang redup dengan pokok pula dipenuhi bilik pameran utama kereta Ferrari, Lamborghini dan Rolls-Royce, selain butik jenama mewah dan restoran bertaraf Michelin.
Jeong Eun-woo, yang tinggal di sebuah pangsapuri moden di Gangnam berkata, beliau tidak menghadapi banyak masalah sepanjang musim panas ini.
“Saya membiarkan penyaman udara beroperasi sepanjang masa. Saya minum kopi ais dan memakai pakaian yang nipis.
“Setakat ini semuanya baik-baik saja,” kata wanita berusia 20 tahun itu.
Sebaliknya di Kampung Guryong, yang dikelilingi timbunan sampah, akses kepada penyaman udara malah bekalan elektrik yang stabil juga tidak terjamin.
Seorang penduduk, Ko Jae-ok, 87, mengumpulkan kipas tangan berkuasa bateri yang dibuang oleh penduduk Seoul yang lebih berad.
Namun, beliau berkata, ia tidak banyak membantu mengurangkan kepanasan. – AFP
The post Cuaca panas ekstrem ubah makna kemewahan di daerah elit appeared first on Utusan Malaysia.
