
![]()
KOTA BHARU: Lima pemilik dan seorang pengurus syarikat termasuk dua beranak mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 13 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.
Saipuddin Mohamad, 47; Nur Shahalwani Ab. Hamid, 37; Nik Muhammad Afiq Rifqi Nik Araman, 29; bersama bapanya, Nik Araman Yusoff, 54; Eadzelin Azmi, 41, dan Mohamad Faiz Harith Hazman, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Saipuddin berdepan enam pertuduhan dan Nur Shahalwani empat pertuduhan manakala tiga lagi tertuduh termasuk dua beranak masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh sebagai pemilik syarikat didakwa memberi dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso yang mempunyai penyataan palsu dengan niat hendak memperdaya prinsipalnya.
Perbuatan itu dilakukan bermula 18 Mei 2024 hingga 9 Oktober 2024 di sekitar Kota Bharu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 hingga RM14,000 kepada setiap tertuduh selain menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes. Semua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN
The post Enam pemilik, pengurus syarikat tidak mengaku buat tuntutan palsu Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.


