
![]()
JERANTUT – Hasrat seorang pencipta kandungan media sosial terkenal dari Kota Bharu yang popular dengan video masakan ‘cak pua’ untuk menikmati pengalaman memancing di Sungai Sepia, Taman Negara bertukar menjadi episod mengecewakan apabila mendakwa kerugian RM3,450 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej memancing.
Mangsa yang dikenali sebagai AS Kitchen di Facebook membuat laporan polis selepas mendakwa wang yang dibayar bagi pakej tersebut gagal dipulangkan walaupun aktiviti memancing tidak dapat diteruskan seperti dijanjikan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Arshad Ayob berkata, mangsa bersama tiga rakannya menempah pakej memancing dengan seorang tekong yang dikenali sebagai Along Kama atau Mohd. Hairul Kamaruddin pada 31 Mei lalu.
Menurutnya, kumpulan terbabit pada awalnya membayar deposit RM300 sebelum diminta membuat beberapa bayaran tambahan yang didakwa bagi tujuan membaiki bot serta mendapatkan permit operasi.
“Beberapa transaksi dilakukan secara berperingkat antara Jun hingga Julai melalui pembayaran menggunakan kod QR kepada beberapa individu selain bayaran tunai kepada tekong berkenaan sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM3,450.
“Bagaimanapun, pada hari trip dijadualkan berlangsung, aktiviti memancing tidak dapat diteruskan selepas tekong tersebut dikatakan ditahan pihak berkuasa kerana tidak dibenarkan beroperasi di kawasan Taman Negara,” katanya di sini hari ini.
Arshad berkata, suspek kemudian berjanji akan memulangkan wang tersebut pada penghujung Julai lalu, namun sehingga kini mangsa mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran balik. – KOSMO! ONLINE
The post Trip pancing lebur, pempengaruh rugi RM3,450 appeared first on Kosmo Digital.


