Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang remaja lelaki mabuk membuang tin arak merata-rata membawa padah apabila dia ditahan selepas dipercayai mencederakan seorang penyelia pengawal keselamatan di hadapan sebuah pasar raya mini di Razak City Residensi, Cheras, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek tempatan berusia 15 tahun itu ditahan polis pada hari kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 49 tahun telah menegur suspek kerana membuang tin arak di kawasan berkenaan.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian bertindak agresif dengan melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka torehan di bahagian kiri perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Salak South berjaya menahan suspek di lokasi kejadian.
“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Suspek tidak bersekolah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Hasil ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Suspek direman sehari pada semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja ditahan cederakan pengawal keselamatan appeared first on Kosmo Digital.
