Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – “Saya merayu, tolong henti buli seksual terhadap anak saya. Jangan ganggu dia lagi, dia sudah cukup tertekan.”
Demikian luahan seorang ibu kepada seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selepas didakwa menjadi mangsa buli seksual dan gangguan siber sejak April lalu.
Menurut suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 46, emosi anak kedua daripada tiga beradik itu kini semakin terganggu apabila gambar beserta wajahnya telah disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum disebarkan menerusi poster di sekolah, tempat awam dan di media sosial.
Dakwanya lagi, gangguan berkenaan bukanlah kejadian baru sebaliknya, sudah berulang sebanyak tiga kali dan terkini, semalam apabila poster mengandungi gambar dan maklumat peribadi anaknya diletakkan di dalam bakul motosikal pelajar di sebuah sekolah di kawasan Seberang Perai Tengah.
“Petang semalam merupakan kejadian ketiga. Kami dapat tahu sejurus menerima satu mesej daripada individu tidak dikenali yang berkongsi gambar anak selain memintanya mengirimkan video lucah.
“Dua kejadian terdahulu berlaku di dalam kawasan sekolah apabila poster memaparkan wajah anaknya bersama imej lucah yang disunting dan ditampal di beberapa lokasi termasuk kantin, papan kenyataan dan pintu bilik mesyuarat guru.
“Anak saya kini calon SPM. Dia malu, menangis dan mengalami tekanan emosi sehingga ada ketika dia sampai tidak mahu keluar dari rumah dan tidak mahu ke sekolah lagi kerana terlalu terkesan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Cerita Nur lagi, situasi yang menghimpit anaknya itu turut memberi kesan emosi yang mendalam terhadap dia dan suami apabila sering memikirkan tahap keselamatan dan kesihatan dirinya.
“Kami sebagai ibu bapa hanya mampu memberi semangat supaya dia terus kuat, tetapi kami bimbang tekanan yang dialaminya akan memberi kesan kepada kesihatan mental dan masa depannya.
“Kepada si pelaku. Saya tahu mungkin kamu, individu yang mengenali rapat dengan anak saya. Sudahlah… jangan buat anak saya macam ini.
“Sebagai ibu, naluri saya kuat mengatakan yang motif kejadian ini mungkin disebabkan cinta yang ditolak atau cemburu dalam kalangan rakan sebaya memandangkan anak saya merupakan model sambilan,” ujarnya dalam nada sebak.
Wanita itu berkata lagi, keluarganya kini sudah membuat tiga laporan polis selain mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung akaun media sosial palsu yang menggunakan nama dan gambar anaknya.
“Saya berharap polis mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab.
“Saya juga berharap Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri campur tangan kerana ini bukan lagi sekadar buli biasa, tetapi sudah menjadi buli seksual dan buli mental,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kenapa buat anak saya begini’ appeared first on Kosmo Digital.
