
![]()
HULU TERENGGANU – Dua ekor gajah liar seakan-akan ‘berdendam’ apabila kerap memusnahkan kebun di Kampung Sekayu, di sini sejak sebulan lalu sehingga menggerunkan penduduk.
Berikutan kejadian tersebut, kebun tanaman penduduk seperti pisang, cempedak, kelapa dan kelapa sawit habis dimusnahkan ‘abang besar’ itu hingga melibatkan kerugian ribuan ringgit.
Salah seorang penduduk, Majid Ibrahim, 70, berkata, dia mula mengesan kehadiran gajar liar terbabit pada awal Julai lalu selain kejadian terbaru berlaku pada Selasa lalu.
“Kejadian terbaru itu berlaku pada pukul 10 malam, saya terdengar bunyi seakan dahan pokok dipatahkan dari luar rumah.
“Setelah diselidik, ia rupanya perbuatan gajah. Haiwan liar itu hanya beredar selepas disuluh dengan lampu suluh,” katanya di sini semalam.
Majid berkata, sejak itu, kebunnya seluas kira-kira 0.9 hektar yang diusahakannya sejak kira-kira 40 tahun lalu kerap dicerobohi dua gajah liar tersebut.
Dia berkata, ia menyebabkan banyak hasil kebunnya seperti pisang, cempedak dan kelapa dimusnahkan haiwan liar terbabit.
“Ia amat menyedihkan kerana hasil tanaman yang diusahakan bertahun-tahun tidak dapat dinikmati,” katanya.
Sementara itu, Minah Omar, 70, berkata, kehadiran gajah liar terbabit menyebabkan sebahagian besar penduduk tidak berani ke kebun masing-masing.
Dia berkata, sebahagian besar mereka juga takut untuk keluar rumah terutama pada waktu malam.
“Saya harap pihak berkenaan dapat mengatasi masalah gangguan gajah ini sesegera mungkin,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Hasil kebun habis dibaham ‘abang besar’ appeared first on Kosmo Digital.
