Auto Added by WPeMatico

![]()
DALAM usaha membantu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap atlet berusia 38 tahun itu diserap semula ke program Road to Gold (RTG).
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, persatuan itu akan mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Jelas Amarjit, pendirian beliau tidak pernah berubah untuk melihat bekas juara dunia itu meneruskan karier sehingga Sukan Olimpik LA 2028, terutamanya selepas memenangi siri Piala Dunia di Perth dan Nilai.
“Sejak Azizulhasni menang aksi Piala Dunia di Perth dan Nilai, pendirian saya tidak pernah berubah, iaitu dia (Azizulhasni) perlu diberi peluang untuk meneruskan karier sehingga LA kerana percaya tugasnya masih belum selesai.
“Kami sudah berbincang dan PKBM memberikan sokongan penuh, tetapi dia juga perlu mendapat sokongan menyeluruh daripada KBS, MSN, ISN (Institut Sukan Negara) dan RTG bagi menghadapi kempen kelayakan Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Diraja Kerajaan Thailand kepada Tan Sri Darshan Singh Gill di Kuala Lumpur semalam.
Pada masa sama, Amarjit turut menjelaskan, kempen kelayakan ke Olimpik kali ini dijangka lebih mencabar kerana ia melibatkan Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia, siri Piala Dunia selain perlumbaan dengan status C1 dan C2 yang memerlukan komitmen cukup besar.
“Sebab itu saya akan menulis surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pengarah MSN bagi menyatakan hasrat PKBM supaya Azizulhasni meneruskan perjuangan ke LA 2028. Kerajaan perlu menyatakan pendirian jelas bahawa khidmatnya masih diperlukan.
“Saya percaya jauh di sudut hatinya dia mahu ke Olimpik tetapi dia juga mahukan kepastian bahawa dia masih mendapat sokongan penuh daripada semua pihak,” ujarnya.
Beliau menegaskan, rekod yang dimiliki ‘The Pocket Rocketman’ itu membuktikan bahawa dia wajar untuk dimasukkan semula ke dalam program RTG kerana menepati merit berbanding atlet-atlet lain.
“Sebaik sahaja Sukan Asia berakhir nanti, pasukan akan terus memulakan kempen kelayakan ke Olimpik pada Kejohanan Dunia di Shanghai. Kita tidak boleh tunggu sehingga tamat Sukan Asia kerana perancangan perlu dibuat lebih awal,” jelas Amarjit.
The post PKBM mahu KBS pertimbangkan Azizulhasni appeared first on Kosmo Digital.
