Auto Added by WPeMatico

![]()
SETIAP kali berlaku kemalangan melibatkan gajah, emosi rakyat Malaysia pastinya terusik disusuli luahan kemarahan dan kesedihan menghujani media sosial.
Belum pun pulih daripada kisah tragis kematian seekor anak gajah dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak tahun lalu, tragedi demi tragedi melibatkan haiwan itu terus berlaku.
Masih ingatkah rakaman video kejadian itu seekor gajah betina cuba ‘menolak’ lori yang melanggar anaknya pada kejadian awal pagi?
Video berdurasi satu minit 11 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seekor anak gajah terperosok di bawah kenderaan berat itu hingga merobek hati seluruh rakyat.
Tidak berakhir di situ, kisah malang tentang haiwan liar tersebut terus berlaku bagaikan tiada nokhtah.
Terkini bulan lalu di Mersing, bagaikan sejarah pedih berulang apabila seekor lagi anak gajah mati dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian juga berlaku pada awal pagi.
Seperti tragedi di JRTB, ibu kepada anak gajah itu juga enggan berganjak meninggalkan jasad anaknya selama tujuh jam di Jalan Felda Nitar.
Susulan itu, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menegaskan, tragedi seperti itu bukan kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian corak kemalangan yang semakin membimbangkan.
Katanya, dari tahun ke tahun kata WWF Malaysia, jalan raya di negara ini terus menjadi perangkap maut kepada hidupan liar dan pengguna jalan raya.
Ujarnya, komitmen nasional lebih kukuh diperlukan dalam melaksanakan penyelesaian seperti pembinaan koridor khas hidupan liar, terowong mesra alam serta jejambat hidupan liar.
Infrastruktur ini katanya, membolehkan haiwan melintas jalan dengan selamat, di samping mengekalkan laluan migrasi gajah, memperkayakan habitat serta meningkatkan kesalinghubungan kawasan hutan.
“Melindungi hidupan liar bukan hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pengguna jalan raya.
“Berwaspada ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar, patuhi had laju, peka keadaan sekeliling serta patuhi papan tanda amaran, terutama pada waktu subuh dan senja apabila pergerakan haiwan lebih aktif.
“Kita turut menggesa penguatkuasaan had laju dan peraturan lalu lintas di kawasan berisiko diperkukuh dengan hukuman lebih tegas terhadap pemandu yang memandu laju perlu dilaksanakan,” katanya.
Antara lain dicadangkan, perbanyakkan papan tanda amaran, langkah pengurangan kelajuan dan sistem amaran pintar yang mampu memberi peringatan awal kepada pengguna jalan raya.
Ironinya, baru sahaja WWF Malaysia tampil dengan cadangan dan mengatakan corak kemalangan melibatkan gajah semakin membimbangkan, ia ‘dibuktikan’ dengan tragedi sekumpulan gajah liar dirempuh kenderaan, Selasa lalu.
Kejadian yang berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh itu, melibatkan kenderaan pelbagai guna Toyota Estima dinaiki sepasang suami isteri.
Langkah-langkah pencegahan yang dicadang bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak bagi mengurangkan kematian hidupan liar di jalanan, mencegah kemalangan dan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk manusia serta haiwan.
The post Sampai bila hadap kisah sedih gajah? appeared first on Kosmo Digital.
