Auto Added by WPeMatico

![]()
PASIR PUTEH – Seorang istimewa yang pernah menyentuh hati ribuan rakyat Malaysia selepas penderitaannya melawan penyakit Treacher Collins Syndrome (TCS), Hayyan Rifqi Abdul Hanif meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian pada pukul 2.45 pagi tadi.
Ibunya, Nur Azlina Bohore, 29, berkata, anaknya yang berusia enam bulan itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat pendarahan serius pada bahagian hidung dan mulut.
Menurutnya, Hayyan Rifqi dikejarkan ke Unit Kecemasan HPUSM selepas keadaan kesihatannya merosot secara mendadak apabila saluran darah dipercayai pecah.
“Pihak hospital telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.45 pagi.
“Kami reda dengan pemergian arwah kerana itu adalah ketentuan-Nya. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang khususnya pembaca Kosmo! yang banyak membantu meringankan bebanan kewangan kami dalam mengurus perjalanan hidup Hayyan Rifqi selepas kisahnya disiarkan menerusi Kosmo! Prihatin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nur Azlina memberitahu, keadaan Hayyan Rifqi semalam amat kritikal dan pihak hospital memberikan rawatan kecemasan termasuk pemindahan darah.
Tambahnya, jenazah anak bongsu daripada empat beradik itu akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Besar di sini hari ini.
Akhbar Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan, seorang ibu kini buntu kerana tidak mampu menyediakan RM2,000 sebulan untuk membeli susu khas buat bayinya berusia enam bulan yang menghidap sindrom TCS sejak lahir.
TCS merupakan kelainan genetik langka menyebabkan pertumbuhan tulang atau jaringan wajah tidak sempurna terutama pada tulang pipi, rahang dan telinga. – KOSMO! ONLINE
The post Hayyan Rifqi pergi buat selamanya appeared first on Kosmo Digital.
