Auto Added by WPeMatico

![]()
Saudara Pengarang,
KAMI penduduk di Lorong Pusaka, Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor kini hidup dalam kebimbangan apabila antara 10 hingga 15 ekor anjing liar berkeliaran di kawasan rumah mereka sejak lima bulan lalu.
Keadaan itu semakin meresahkan apabila anjing berkenaan bukan sahaja berkeliaran di jalan, malah menjadikan kaki lima, dapur dan kawasan sekitar rumah penduduk sebagai tempat berehat, termasuk pada waktu malam.
Hampir kesemua 14 rumah di lorong berkenaan dihuni keluarga yang mempunyai kanak-kanak, sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya haiwan berkenaan bertindak agresif.
Sudah beberapa kali anjing-anjing itu dihalau, tetapi ia datang semula terutama pada waktu malam dan menjadikan kawasan rumah sebagai tempat berehat.
Macam sekali pandang, seolah-olah kami pula yang membela anjing-anjing tersebut kerana ia bebas berkeliaran di kawasan berkenaan.
Sebelum ini aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Bagaimanapun kami masih belum menerima maklum balas berhubung tindakan yang akan diambil ke atas haiwan-haiwan terbiar itu.
Kami berharap isu berkenaan tidak dipandang ringan sehingga berlaku kejadian tidak diingini, lebih-lebih lagi selepas insiden seorang kanak-kanak berusia dua tahun diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat baru-baru ini.
Bagi kami, masalah anjing liar tersebut bukan perkara baharu di Kayu Ara Pasong apabila kejadian sama pernah berlaku sebelum ini dan tular di media sosial.
Masalah tersebut kini dilihat turut merebak ke kampung-kampung berhampiran sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan.
Difahamkan, kehadiran anjing liar di kampung berhampiran itu sebelum ini sebahagiannya digunakan untuk menjaga kebun kelapa sawit, nanas dan sayur-sayuran daripada gangguan monyet serta haiwan lain.
Apabila tidak lagi digunakan untuk menjaga kebun, ada pemilik yang meninggalkannya tanpa makanan dan minuman sehingga haiwan berkenaan merayau-rayau keluar mencari makanan di kawasan kampung dan meresahkan penduduk di situ.
Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kebun terpaksa berdepan risiko ancaman anjing yang berkeliaran, terutama ketika keluar masuk rumah pada waktu pagi dan malam.
MAHMUD,
Pontian.
The post Pantau kehadiran anjing liar yang resahkan penduduk appeared first on Kosmo Online.
