Auto Added by WPeMatico

![]()
KUCHING – Tiada kejadian pecah rumah dikenal pasti dalam kes sepasang suami isteri yang ditemukan mati di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di rumah pasangan itu juga mendapati tiada barangan berharga hilang.
“Siasatan awal telah dijalankan oleh pasukan forensik di lokasi semalam untuk mengumpul bukti yang boleh membantu siasatan.
“Bagaimanapun, setakat ini kami masih belum menemui petunjuk mengenai punca kematian pasangan berkenaan,” katanya yang dihubungi semalam.
Katanya, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan serta polis kini giat mengumpul bukti serta mendapatkan keterangan saksi bagi membantu siasatan.
Setakat ini, polis juga belum menahan mana-mana suspek berkaitan kes berkenaan.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang guru besar dan isterinya dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan serius di dalam rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.
Mayat pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu ditemukan orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada polis pukul 6.55 pagi.
Pasangan itu meninggalkan dua anak perempuan berusia 17 dan 16 tahun serta seorang anak lelaki berusia sembilan tahun. – KOSMO! ONLINE
The post Rumah tidak diceroboh, tiada barang hilang appeared first on Kosmo Digital.