Auto Added by WPeMatico

![]()
KLUANG – Ribuan ikan termasuk tilapia dan baung serta udang galah ditemui mati selepas Sungai Sembrong dipercayai tercemar akibat pelepasan sisa berminyak dari bahagian hulu sungai berkenaan sejak petang semalam.
Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau, Sari Achu berkata, kejadian itu disedari penduduk selepas menerima laporan daripada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Air Pasir, Kuala Sengka, Sedohok dan Sungai Peroh.
Menurutnya, hasil tinjauan penduduk mendapati pencemaran dipercayai berpunca dari sebuah tali air di bahagian hulu Sungai Sembrong, namun punca sebenar serta pihak yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti.
“Susulan kejadian ini, satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang hari ini dan difahamkan tindakan mengesan punca pencemaran sedang dilakukan pihak berkenaan.
“Sebagai penduduk yang menjadikan sumber sungai sebagai antara mata pencarian, kami amat kesal dengan kejadian ini kerana pencemaran sebegini mengambil masa yang panjang untuk pulih,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambah Sari, penduduk kini terpaksa mencari lokasi lain yang lebih jauh untuk mendapatkan ikan dan udang berikutan sumber di Sungai Sembrong terjejas akibat pencemaran tersebut.
Katanya, kejadian pencemaran di sungai berkenaan bukan perkara baharu, malah sudah beberapa kali berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
“Penduduk mengesyaki pencemaran kali ini berpunca daripada sisa minyak kelapa sawit berdasarkan kesan yang kelihatan di permukaan air,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sungai Sembrong tercemar, ribuan ikan, udang mati appeared first on Kosmo Online.
