
![]()
JITRA – Polis tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam dekat sini sejak 20 Julai lalu disebabkan hutang permainan kutu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat mangsa permainan kutu terhadap wanita dilaporkan hilang itu.
Katanya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan keberadaan pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka.
“Setakat ini, tiada pergerakan tiga individu terbabit ke luar negara. Siasatan masih diteruskan sebagai orang hilang.
“Kita menyiasat kes ini daripada segala sudut. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga itu diminta segera menghubungi pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan polis sedang mengesan tiga sekeluarga dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu.
Laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri, Khairul Azhar Ahmad, 39, dan Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, serta anak mereka, Adid, 9, dibuat bapa wanita terbabit berusia 62 tahun, tengah malam semalam.
Kanak-kanak itu juga dikatakan tidak ke sekolah dalam tempoh tersebut.
Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mereka dapat menghubungi individu dilaporkan hilang itu adalah pada 20 Julai lalu sebelum gagal dihubungi sehingga hari ini.
Hasil siasatan televisyen litar tertutup di perumahan tersebut mendapati tiga individu terbabit ada pulang ke rumah dengan sebuah kenderaan pada pukul 1.12 pagi kelmarin dan keluar semula dari situ kira-kira sejam lapan minit kemudian. – KOSMO! ONLINE
The post Kehilangan 3 beranak mungkin sebab hutang kutu appeared first on Kosmo Digital.



