Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN – Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan dua kapal korek yang disyaki membawa muatan pasir melebihi had dibenarkan dalam operasi di perairan Barat Daya Pulau Rimau di sini, semalam.
Nilai rampasan membabitkan kedua-dua kapal bersama muatan pasir dianggarkan bernilai kira-kira RM400 juta.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kedua-dua kapal itu dikesan pada kedudukan kira-kira 2.7 batu nautika Barat Daya Pulau Rimau ketika bot ronda agensinya menjalankan rondaan rutin.
“Hasil pemeriksaan mendapati setiap kapal dikendalikan 14 kru warga asing yang terdiri daripada lima warga Indonesia dan sembilan warga China. Kedua-dua kapal tersebut masing-masing dikendalikan oleh nakhoda warga Indonesia berusia 28 dan 31 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana membawa muatan pasir melebihi had yang ditetapkan,” katanya di sini, petang ini.
Beliau berkata, tiga kru daripada setiap kapal telah ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim bagi membantu siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara. Kami akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pelayaran serta kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara,” tegas beliau. -KOSMO! ONLINE
The post Dua kapal korek bawa lebih muatan pasir ditahan appeared first on Kosmo Digital.
