Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA TERENGGANU – Gara-gara tidak mematuhi standard keselamatan ditetapkan, 2,380 unit permainan span lembut atau squishy bernilai keseluruhan RM30,391 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dalam operasi khas sejak 3 Oktober lalu.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, kesemua squishy tersebut dirampas dalam 101 pemeriksaan di enam premis peniagaan di sekitar bandar raya ini sehingga hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mainan disita berkenaan didapati tidak mempunyai Tanda Keselamatan Malaysia (MC).
“Ia bertentangan dengan peraturan yang menetapkan setiap permainan yang direka untuk kanak-kanak berusia bawah 14 tahun perlu mematuhi standard keselamatan.
“Poduk berkenaan juga perlu mempunyai perakuan dan tanda pematuhan standard keselamatan MC sebelum ditawarkan untuk jualan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, kes sedang disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda maksimum RM250,000 bagi syarikat manakala individu pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau mengingatkan pengilang, pengimport, pembekal, pengedar dan peruncit agar memastikan semua permainan kanak-kanak yang dibekalkan dan dijual mematuhi standard keselamatan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post KPDN rampas 2,380 squishy diragui keselamatan appeared first on Kosmo Online.
