
![]()
KANGAR – Polis mengesahkan rangka yang ditemukan dalam guni di sebuah kebun berhadapan kilang beras di Behor Mali, di sini pada 26 Julai lalu adalah rangka manusia.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kes tersebut buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut diteruskan.
“Kita masih menyiasat sama ada wujud unsur jenayah atau tidak. Selain itu, polis juga sedang giat mengesan identiti mangsa, waris atau ahli keluarganya bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, beberapa tindakan susulan sedang dijalankan termasuk mendapatkan laporan penuh forensik selain meneliti semua petunjuk yang diperoleh di lokasi kejadian.
Kosmo! pada 26 Julai lalu melaporkan seorang pekebun menemui satu bungkusan guni yang sudah reput dipercayai mengandungi rangka manusia ketika menjalankan kerja meracun rumput di kebunnya sebelum membuat laporan polis pada pukul 10.48 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post Rangka dalam guni di Behor Mali disahkan manusia appeared first on Kosmo Digital.
