Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Penglibatan orang dalam antara aspek yang diteliti selepas mendapati sindiket terus menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai laluan utama penyeludupan bahan terlarang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya tidak menganggap KLIA mudah ditembusi, namun mengakui sindiket sentiasa mencari ruang serta mengeksploitasi sebarang kelemahan dalam sistem keselamatan sedia ada.
Menurut beliau, sindiket terbabit tidak pernah berputus asa walaupun berdepan tindakan penguatkuasaan berterusan kerana peluang untuk berjaya walaupun kecil tetap menjadi sasaran mereka.
“Mereka akan terus mencuba. Kalau cuba 10 kali, mungkin dua atau tiga kali berjaya, sebab itu mereka tidak pernah berputus asa. Jadi, kemungkinan wujud orang dalam antara perkara yang sedang diteliti pihak kami,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan kini turut meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di KLIA bagi menangani ancaman penyeludupan dadah.
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, permintaan tinggi bunga ganja di Eropah dipercayai menjadi faktor KLIA dijadikan hab bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas pihaknya mengesan peningkatan ketara melibatkan kes rampasan dan tangkapan.
Mengulas lanjut, katanya, kira-kira 80 peratus dadah itu dibawa keluar bagi pasaran luar negara dengan harga berlipat kali ganda berbanding mencecah RM80,000 sekilogram (kg) di negara ini.
Tambah beliau, prestasi penguatkuasaan di KLIA mencatatkan sebanyak 108 kes sepanjang Januari hingga Julai berbanding 54 kes bagi tempoh sama tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Orang dalam’ antara fokus siasatan sindiket dadah di KLIA appeared first on Kosmo Digital.
