Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Seorang pegawai bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM11,500 pada 2024 dan tahun lepas.
Tertuduh, Johari Bar Azwar, 40, yang bertugas sebagai Penguasa Bomba KB9 di Pejabat Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sungai Petani membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan RM1,500 daripada pemilik sebuah syarikat berusia 66 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan surat sokongan pelesenan JBPM bagi syarikat itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah restoran di Amanjaya Mall, Sungai Petani, dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 4 April 2024.
Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa meminta dan menerima suapan RM10,000 daripada pemilik sebuah lagi syarikat berusia 27 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan surat sama bagi syarikat itu dan sebuah lagi syarikat lain.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hadapan premis di Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya, Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang, 4 Februari 2025.
Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai bomba tidak mengaku minta, terima rasuah RM11,500 appeared first on Kosmo Digital.
