Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Seorang pengurus restoran terpaksa hidup dalam ketakutan gara-gara menjadi sasaran ceti haram selepas pemilik asal kediaman yang dibelinya gagal melunaskan hutang.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Leong, 46, berkata, kejadian bermula Februari lalu selepas dia menerima surat tuntutan hutang membabitkan anak pemilik lama yang dipercayai berhutang bagi judi kasino.
Katanya, dia memaklumkan kejadian ugutan itu kepada pemilik lama dan difahamkan laporan polis mengenainya telah dibuat di Balai Polis Desa Jaya, Gombak pada 24 Februari lalu bagi menafikan penjara tersebut.
“Pada pukul 2.30 pagi, 25 Julai lalu, rumah kami disimbah cat merah. Dua hari kemudian, saya menerima mesej suara ugutan daripada seorang lelaki bernama Keat yang mengancam mahu membakar rumah sekiranya hutang tidak dijelaskan.
“Malah, dua hari lalu, beberapa individu tidak dikenali yang menunggang motosikal membuat bising di hadapan rumah bagi menimbulkan rasa takut dan mengganggu ketenteraman kami,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Menurut Leong, dia membeli rumah itu secara terus daripada pemilik asal pada 2012 pada harga RM 245,000 dan kerja-kerja pengubahsuaian selesai pada 2014.
“Along mendakwa dia tidak peduli siapa penghuni baharu dan mendesak supaya hutang asal berjumlah RM20,000 diselesaikan. Selepas rundingan dibuat, jumlah hutang itu dikurangkan kepada RM8,000 dan akhirnya menjadi RM5,000.
“Kami hidup dalam ketakutan kerana alamat asal pada kad pengenalan anak pemilik asal masih menggunakan alamat rumah kami,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong mendesak pihak polis membuat siasatan lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket terbabit.
Beliau turut menasihatkan pembeli rumah supaya lebih berhati-hati dan memastikan pemilik asal menukar alamat kediaman pada dokumen pengenalan diri bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang. – KOSMO! ONLINE
The post Diganggu, diugut ceti haram gara-gara pemilik asal buat onar appeared first on Kosmo Digital.
