
![]()
KUALA TERENGGANU – Padah tidak mempamerkan tanda amaran jualan produk rokok kepada individu bawah 18 tahun, seorang pengusaha kedai runcit di Kuala Berang, Hulu Terengganu didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman demikian selepas orang kena saman (OKS), Khairul Nuzul Hamdan Mohd. Zulkifli, 28, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau juga memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya Khairul Nuzul Hamdan gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Khairul Nuzul Hamdan didakwa gagal mempamerkan tanda amaran larangan jualan produk merokok kepada individu bawah 18 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan OKS di premis perniagaannya, Akubob Trading pada 13 Julai 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- KOSMO! ONLINE
The post Denda RM8,000 sebab tidak pamer amaran jual rokok bawah 18 tahun appeared first on Kosmo Digital.

