Auto Added by WPeMatico

PEKAN – Seorang bapa tidak menyangka pemberian kek daripada anaknya minggu lalu menjadi pemberian pertama dan terakhir apabila anaknya yang merupakan doktor di Segamat itu meninggal dunia dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat di sini semalam.
Dalam kejadian itu mangsa Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan,33, bersama isteri, anaknya dan ibu serta bapa mentuanya dalam perjalanan ke Kuantan bagi menghadiri perjumpaan keluarga yang dijadualkan hari ini.
Bapa mangsa Mohd Atan Daud,67, berkata, kali terakhir bertemu mangsa adalah pada Ahad lalu ketika rutinnya datang melawat di rumahnya di Batu Anam di Segamat.
“Tidak ada apa yang pelik pada masa itu cuma dia menyatakan akan membawa saya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu.
“Cuma sebelum itu buat pertama kali dia datang pada waktu malam menghantar kek kepada saya di rumah, itu pertama kali dia hantar kek seperti itu dan inilah yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini hari ini.

Menurutnya semasa kejadian mangsa dalam perjalanan daripada rumahnya di Segamat menuju ke Kuantan selepas berhenti mengambil ibu mentuanya yang tinggal di Muadzam Shah di Rompin.
Katanya, dia mengetahui kejadian selepas isyak daripada jiran sebelum dia bergegas ke Hospital Pekan malam semalam.
Dalam pada itu ibu mangsa, Rosnah Wahid, 55, berkata, kali terakhir mangsa bertandang ke rumahnya Ahad lalu menyaksikan mangsa begitu berselera makan pelbagai juadah disediakannya.
“Dia cakap masakan mak sangat sedap pada masa itu, semuanya sedap dan dia juga menyatakan hajat membawa ayahnya untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Dia memang anak yang berbakti apa sahaja keperluan saya diberikannya dan dia begitu mengambil berat urusan keluarga,” katanya.
Dia memberitahu menjadi rutin anak kedua daripada empat beradik itu untuk pulang ke rumahnya di Batu Anam Segamat setiap Ahad dan pulang ke rumah mentuanya di Muadzam Shah pada setiap Jumaat.
Katanya, meskipun sibuk sebagai seorang doktor anaknya itu sentiasa membahagikan masa untuk datang ke rumahnya dan rumah mentuanya setiap minggu.
“Apa sahaja keperluan kami sememangnya diberikannya dia memang anak yang baik,” katanya.
Sementara itu abang ipar mangsa Johan Ibrahim,44, berkata, semasa kejadian dia yang tinggal di Kuala Lumpur telah berada di rumah adiknya di Kuantan dan menunggu mangsa yang dalam perjalanan.
Katanya, mereka dijadualkan mengadakan perhimpunan keluarga di Telok Chempedak hari ini dan turut menyertai larian yang dianjurkan di pantai peranginan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Kejutan pemberian kek kepada ibu bapa petanda pergi buat selamanya appeared first on Kosmo Digital.
