Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Gelagat seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang berani mengemukakan permintaan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, ibu kepada kanak-kanak berkenaan, @Fatyn_zamry berkongsi kisah anaknya yang dipercayai meninggalkan pesanan kepada Anwar sehingga mendapat respons daripada Perdana Menteri sendiri.
Lebih mencuit hati apabila Anwar dilihat terhibur dengan permintaan tersebut sebelum menitipkan nasihat supaya kanak-kanak itu rajin membaca buku dan bersekolah.
“Waalaikumussalam. Amboi, selamanya dia minta.
“Semoga menjadi anak yang rajin membaca buku dan pergi ke sekolah. Sampai hari cuti nanti pun dia mahu pergi sekolah,” ujarnya.
Rata-rata pengguna Threads turut terhibur melihat keberanian kanak-kanak tersebut kerana permintaannya berjaya mendapat perhatian orang nombor satu negara.
“Permintaan terus melangkaui pengurusan pertengahan. Terus kepada orang paling atas. Boleh pergi jauh budak ini,” kata @E1porez86.
Sementara itu, seorang pengguna, @Fiealyazabidin berkongsi pengalaman hampir sama apabila anak keduanya yang ketika itu berusia enam tahun pernah menukar nama kumpulan WhatsApp keluarga tanpa pengetahuan mereka.
“Anak kedua saya pun pernah buat begini ketika berusia enam tahun dan sudah pandai membaca. Dia bermain telefon neneknya lalu menukar nama kumpulan WhatsApp keluarga daripada ‘Family Ukhuwah’ kepada ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’.
“Rupa-rupanya anak saya yang menukarnya kerana ketika itu neneknya sedang menonton drama tersebut di Astro. Alhamdulillah, sekarang dia sudah berada di Tahun Empat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PM balas permintaan murid enam tahun minta ‘cuti sekolah selamanya’ appeared first on Kosmo Digital.
