
![]()
SUNGAI GOLOK, THAILAND – Suasana perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala FA Golok 2026 antara pasukan gabungan Thailand-Malaysia, Sam Colt dan Abu Nong Sirin bertukar tragedi apabila seorang pemain Yala FC maut selepas disambar petir ketika sedang beraksi di Stadium Santiphap, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Sofwan Awae, 24, yang berasal dari Daerah Waeng, Narathiwat, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Selain itu, seorang rakyat Malaysia, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, turut cedera dalam insiden tersebut.
Turut mengalami kecederaan ialah Somchai Longmihna, 25, Sakirin Tikasom, 36, Sakariya Koleh, 38, Hamirul Cheh Asa, 32, Saranant Sathavorn, 37, Mayusaran Kaso, 31, Fatel Baka, 19; Suhaimi Rohman, 28, Anas Dulyaseree dan Khairy Layeng.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Thun Sirikhunt, berkata, siasatan awal mendapati, hujan lebat berserta angin kencang melanda kawasan stadium sebelum petir menyambar di tengah padang ketika perlawanan sedang berlangsung.
Katanya, Sofwan yang beraksi bersama pasukan Abu Nong Sirin rebah akibat sambaran petir manakala kira-kira 11 pemain lain turut mengalami kecederaan.
“Beberapa rakan Sofwan cuba memberi bantuan kecemasan sebelum kakitangan perubatan kecemasan Yayasan Sheng Mu Tharn Namjai, Sungai Golok tiba, namun mangsa gagal diselamatkan.
“Kesemja mangsa yang cedera dihantar untuk rawatan di Hospital Sungai Golok,” katanya.
Sirikhunt memberitahu, Mohamad Alif Ezzahan yang mewakili pasukan Sam Colt mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, kejohanan itu merupakan pertandingan bola sepak tempatan yang terbuka kepada penyertaan pasukan dari pelbagai wilayah di Selatan Thailand dan Malaysia. – KOSMO! ONLINE
The post Pemain Yala FC maut dipanah petir, seorang rakyat Malaysia cedera appeared first on Kosmo Digital.




