Auto Added by WPeMatico

ADA beza antara menjadi bintang dengan berlagak seperti bintang. Satu dibina melalui bakat, kerja keras dan rasa hormat, manakala satu lagi mungkin sekadar lahir daripada ego selepas namanya mula dikenali.
Justeru, persoalan tentang adab segelintir pelakon baharu kembali menjadi buah mulut apabila populariti mula dilihat sebagai lesen untuk menjauhkan diri daripada warga produksi.
Bagi aktor Shahz Jaszle, populariti tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang meninggikan darjat diri, apatah lagi melupakan tangan-tangan di belakang tabir.
Baginya, soal adab sebenarnya bermula jauh sebelum seseorang menjejak kaki ke set penggambaran kerana cara seseorang membawa diri banyak dipengaruhi didikan keluarga.
“Perkara itu bergantung kepada individu dan soal adab. Kita sebagai orang Islam dan Melayu memang diajar menjaga silaturahim, memberi salam serta bergaul dengan baik. Semuanya datang daripada diri sendiri dan bagaimana keluarga mendidik kita.
“Cara kita membawa diri di luar sedikit sebanyak dipengaruhi didikan keluarga. Kalau keluarga didik kita menjadi peramah, kita juga akan mudah beramah mesra dengan orang lain.

Adab
“Tetapi sebagai pelakon, sama ada senior atau junior, kita juga tidak boleh memaksa orang menghormati kita. Takkan kita nak cakap, ‘eh, kau tak salam aku?’
“Kalau seseorang itu berbudi bahasa dan mempunyai adab tinggi, dia sendiri akan tahu bagaimana hendak menghormati orang lain,” katanya.
Sepanjang lebih sedekad membina nama dalam dunia lakonan, pemilik nama sebenar Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmi itu bersyukur tidak pernah menerima kritikan dalam bab angkuh atau tidak beradab.
“Alhamdulillah, tidak pernah. Saya memang jenis menegur semua orang. Mungkin keluarga saya juga begitu. Orang yang saya tidak kenal pun saya boleh tegur, bukan hanya selebriti.
“Bagi saya, adab nombor satu. Tidak rugi pun untuk kita bertegur-sapa dan menghormati orang lain. Bintang boleh bersinar, adab jangan pudar.
“Kenapa perlu sombong? Kenapa apabila menjadi pelakon, kita perlu meletakkan satu standard sehingga merasakan diri terlalu hebat? Bawa santai sahaja,” ujarnya
Bercakap mengenai cara pembawaan diri, bintang filem Azura itu mengakui banyak tunjuk ajar diterima daripada pelakon senior seperti Zamarul Hisham dan Datuk Adi Putra ketika baru mula menapak dalam industri, sekitar 10 tahun lalu.
Pesanan daripada dua pelakon berpengalaman itu menjadi semacam kompas buatnya, terutama ketika berdepan sisi dunia seni yang tidak semuanya indah.
“Ketika saya masuk ke dalam industri kira-kira 10 tahun lalu, ramai senior memberikan nasihat kepada saya, termasuk Zamarul Hisham dan Datuk Adi Putra.
“Mereka pernah berpesan bahawa pada satu tahap dalam perjalanan kerjaya, saya akan bertemu pelakon menganggap dirinya terlalu bagus. Ada juga individu pada mulanya baik, tetapi apabila sudah terkenal, dia mungkin melupakan kita.
“Mereka pesan supaya bersabar, terus melakukan kerja sendiri dan walau apa pun berlaku, sentiasa menghormati orang lain.
“Nasihat itu saya pegang dan amalkan sehingga sekarang,” ceritanya.

Nasihat
Shahz sendiri pernah menelan pahit pengalaman apabila berdepan individu yang berubah sikap selepas karier semakin mencanak.
“Saya sudah melalui pengalaman itu. Ada individu ketika mula berlakon sebagai pelakon pembantu, tetapi apabila kariernya semakin naik, pandang saya pun tidak.
“Apabila bertemu di set sama, dia juga sudah tidak tegur. Memang ada dan saya sudah melalui semua perkara itu.
“Tetapi bagi saya, biarkan sahaja. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menghormati kita. Rasa hormat bukan sesuatu yang boleh dituntut begitu sahaja, sebaliknya kita sendiri perlu mendapatkannya melalui cara kita membawa diri dan melayan orang lain,” kongsinya.
Kasta
Ditanya pendapat mengenai isu kewujudan kasta di set penggambaran selain sesetengah pelakon menerima layanan jauh lebih eksklusif berbanding kru produksi, lelaki berusia 36 tahun itu menyifatkan semua itu bukan budaya kerja ideal dalam industri tempatan.
“Bagi saya, itu salah. Mungkin budaya seperti itu wujud di sesetengah negara. Saya pernah menjalani penggambaran dengan produksi luar dan memang ada tempat mereka sangat menjaga status artis sehingga pelakon tidak bercampur dengan kru.
“Tempat makan artis juga disediakan secara berasingan dan lebih eksklusif. Tetapi bagi kita, sejak dahulu lagi budaya kerja lebih santai. Kita boleh bercampur dan bergaul dengan semua orang.
“Kalau ada individu menganggap dirinya perlu dilayan secara berbeza, mungkin itu hanya segelintir. Terpulang kepada masing-masing. Kebanyakan pelakon senior saya temui sebenarnya jauh lebih merendah diri,” tutupnya.
The post ‘Kenapa bila jadi pelakon rasa diri terlalu hebat’ appeared first on Kosmo Digital.
