Auto Added by WPeMatico

![]()
TEMERLOH – Hasrat dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahu mengisi minyak motosikal selepas kelas tambahan dibatalkan tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 119, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, dua sahabat berkenaan, Muhammad Nazim Dzafran Mohd. Faizul, 17, dan Muhammad Hafizuddin, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima itu dikatakan sering menghabiskan masa bersama sepanjang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor.
Bapa Muhammad Hafizuddin, Muhammad Faizal Mat Daud, 41, berkata, anak sulungnya keluar dari rumah selepas menghantar adiknya kira-kira pukul 6.30 petang.
Menurutnya, Hafizuddin memaklumkan dia mahu ke Masjid Chenor untuk menunaikan solat maghrib sebelum menghadiri kelas tambahan pada malam berkenaan.
“Bagaimanapun, kelas tambahan itu dibatalkan dan selepas itu, dia bersama rakannya keluar untuk mengisi minyak motosikal.
“Difahamkan mereka pada awalnya mahu ke stesen minyak di Pekan Awah, namun saya tidak pasti bagaimana mereka boleh sampai ke Temerloh sebelum terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini kelmarin.
Muhammad Faizal berkata, pemergian Hafizuddin amat sukar diterima mereka sekeluarga kerana anak sulung daripada empat beradik itu banyak membantu keluarga selain menjadi contoh kepada adik-adiknya.
“Semua anak adalah harapan ibu bapa, tetapi dia anak sulung yang banyak membantu keluarga. Dia juga seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat terhadap adik-adiknya.
Namun tak sangka, petang semalam menjadi pertemuan terakhir kami,” ujarnya.
Menurutnya, Muhammad Nazim Dzafran sering bersama Hafizuddin kerana mereka rakan sekelas di SMKA Chenor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati, ketika kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari arah bandar Temerloh ke ke Chenor di Maran.
“Apabila tiba di lokasi, motosikal dinaiki cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza tetapi terlanggar bahagian belakang MPV itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama kereta Toyota Vios yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar kedua-dua mangsa,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post Dua sahabat karib sehidup semati appeared first on Kosmo Digital.
