Auto Added by WPeMatico

Pada suatu masa dahulu, Sungai Klang menjadi laluan utama perdagangan dan sumber rezeki masyarakat setempat.
Sungai ini bermula dari Banjaran Titiwangsa, tepatnya di kawasan Klang Gates Quartz Ridge di Gombak, sebelum mengalir kira-kira 120 kilometer menuju ke Selat Melaka berhampiran Pelabuhan Klang.
Lebih menarik, ekosistemnya kaya dengan pelbagai spesies ikan tempatan seperti puyu, haruan, keli, lampam, malah ada cerita lama menyebut kehadiran ikan kelah dan tengas di bahagian hulunya.
Namun, perubahan zaman dengan pembangunan pesat telah memberi kesan.
Sungai Klang kini berhadapan dengan tekanan hebat, pencemaran, pengubahsuaian struktur sungai serta kemasukan spesies asing seperti ikan tilapia, patin, bandaraya dan keli Afrika.
Dalam keadaan ini, tidak ramai yang masih melihat sungai itu sebagai lubuk memancing. Tetapi bagi Rosman Dali, di sinilah segala-galanya bermula.
Urban angler
Nama Rosman Dali mungkin tidak sepopular ikon memancing arus perdana, tetapi dalam kalangan pemancing di Kuala Lumpur, dia dikenali sebagai antara yang setia ‘membaca’ selok-belok ‘perangai’ Sungai Klang.
Melalui perkongsian di laman Facebook, Rosman bukan sekadar memancing, malah merakam denyut nadi sungai yang sering dipandang sepi itu.

Lebih menarik, dia tidak turun seorang diri, sebaliknya bersama anak-anaknya yang digelar Family Hunter. Mereka menjadikan aktiviti memburu ikan-ikan di Sungai Klang sebagai rutin mingguan.
Keli Afrika
Di Sungai Klang, ikan keli yang kerap menyambar umpan bukan lagi spesies ikan tempatan, tetapi didominasi oleh keli Afrika (Clarias gariepinus).
Spesies yang asalnya dibawa masuk untuk industri akuakultur itu kini seolah-olah menjadi ‘tuan baharu’ di sungai ibu kota.
Berbanding keli kampung yang lebih sensitif terhadap perubahan air, keli Afrika jauh lebih lasak, ia mampu hidup dalam air keruh, kurang oksigen, malah berupaya merayap di darat untuk mencari habitat baharu.
Sifatnya yang rakus dan oportunis menjadikan ia cepat membiak dan menguasai kawasan, sekali gus menekan populasi ikan tempatan.
Namun di sebalik semua itu, bagi Rosman, spesies ini membawa dimensi tersendiri. Saiznya yang kasar dan daya juang agresif menjadikan setiap perlawanan dipenuhi debaran.
Memancing ikan keli Afrika di Sungai Klang memerlukan kefahaman yang lebih daripada sekadar melontar umpan.
Air yang keruh, struktur konkrit dan kehadiran sampah-sarap menjadikan teknik serta pilihan umpan sangat penting.

Bagi pancingan dasar, Rosman sering menggunakan umpan yang mudah tetapi efektif. Antara yang paling menjadi adalah ulat roti (mealworm), cengkerik, roti dan organ ayam seperti hati atau perut.
Umpan-umpan ini mempunyai bau kuat dan tekstur lembut, sesuai untuk menarik perhatian ikan keli Afrika yang lebih bergantung kepada deria bau berbanding penglihatan.
Menariknya, Rosman juga tidak terikat kepada pancingan dasar semata-mata. Dalam situasi tertentu, teknik mengilat turut digunakan.
Gewang jenis chatterbait, yang menghasilkan getaran kuat di dalam air, terbukti ampuh untuk menjinakkan keli Afrika bersaiz besar di Sungai Klang ini.
Getaran daripada chatterbait ini seolah-olah meniru pergerakan mangsa yang tercedera, sekali gus merangsang naluri pemangsa keli. Dalam air keruh, elemen getaran jauh lebih penting berbanding warna gewang, dan di sinilah kelebihan chatterbait terserlah.
Realiti
Apa yang dilalui oleh Rosman sebenarnya menggambarkan realiti Sungai Klang hari ini. Sungai ini bukan sahaja dihuni ikan tempatan, malah spesies asing yang semakin mendominasi.
Misalnya ikan bandaraya, bukan sahaja membiak dengan agresif, malah menggali tebing sungai hingga menyebabkan hakisan. Tilapia pula bersaing secara langsung dengan spesies tempatan untuk makanan dan habitat.

Dalam kes tertentu, terdapat juga laporan kemunculan spesies eksotik seperti alligator gar, ikan pemangsa dari Amerika Syarikat yang dilepaskan tanpa kawalan.
Pada masa sama, masyarakat memancing di ibu kota harus bersyukur kerana masih ada ikan-ikan asli negara yang bertahan di dalam sungai ini, termasuk haruan dan toman.
Cabaran urban fishing
Memancing di Sungai Klang bukan untuk mereka yang mencari keselesaan. Air keruh, bau busuk, sampah-sarap yang hanyut dan struktur konkrit tajam menjadikan setiap sesi memancing penuh cabaran.
Namun bagi Rosman, di situlah letaknya ‘nilai’ sebenar. Setiap sentapan bukan sekadar hasil, tetapi bukti bahawa sungai ini masih ‘bernyawa’. Kadangkala, pulang dengan tangan kosong, tetapi pengalaman itu sendiri sudah cukup bermakna.
Jika dilihat pada perkongsian Rosman, tiada unsur berlebih-lebihan. Tiada paksaan untuk sentiasa mempamerkan tangkapan besar. Sebaliknya, perkara ditonjolkan adalah kejujuran iaitu momen bersama sungai, sama ada berjaya atau sebaliknya.
Dalam dunia yang semakin sibuk, aktiviti seperti ini menjadi ruang untuk kembali kepada asas. Bunyi air mengalir, suasana sunyi di celah kota dan debaran menunggu rentapan ikan, semuanya membentuk satu pengalaman yang sukar digantikan.
Walaupun sering dikaitkan dengan pencemaran, namun Sungai Klang masih mempunyai harapan. Pelbagai usaha pemulihan sedang dijalankan, termasuk pembersihan sungai dan pemantauan ekosistem. Kehadiran semula hidupan seperti biawak, kura-kura dan memerang menjadi petanda bahawa sungai ini mampu pulih.
Dalam hal ini, komuniti pemancing seperti Rosman memainkan peranan penting. Mereka bukan sahaja memancing, malah menjadi saksi perubahan.
Mereka juga boleh menjadi penyampai kesedaran kepada masyarakat atau sekurang-kurang menjadi titik tolak dalam mengurangkan sedikit sebanyak populasi ikan pendatang ini.
The post ‘Urban fishing’ sensasi baharu memancing di Sungai Klang appeared first on Kosmo Digital.
