
![]()
PERUBAHAN yang diimpikan hanya kekal menjadi ‘omong kosong’ sekiranya benar ahli gabungan mengambil pendekatan mencalonkan muka lama untuk bertanding merebut jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres pemilihan, bulan depan.
Khabar angin bertiup kencang ketika ini bahawa sebahagian besar calon yang bertanding akan dibarisi mula lama yang pernah berada di dalam badan induk bola sepak negara ini sekali gus mengundang kekecewaan buat mereka yang mahukan perubahan.
Seandainya perkara itu menjadi kenyataan, ahli gabungan FAM dilihat seakan melepaskan peluang keemasan untuk memainkan peranan besar kepada transformasi bola sepak negara.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mengakui situasi itu bakal mengundang kecewa, namun ia hanya mampu dipendam kerana tugas membuat pilihan sudah diberikan kepada mereka yang berhak.
“Nak kata kecewa, tidak kecewa. Terpulang kepada perwakilan dalam kongres. Perwakilan daripada kelab, persatuan, mereka yang menentukan hala tuju FAM.
“Kita bukan dalam lingkungan ‘keluarga’ mereka, nak mengundi pun tidak boleh, serah bulat-bulat kepada perwakilan, siapa yang dipilih, itulah orangnya.
“Itu yang dicalonkan oleh perwakilan negeri dan kelab. Kalau mereka tidak mahu, mereka tidak akan calonkan,” katanya yang bertegas FAM bukannya tempat untuk mencari populariti.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli percaya bahawa luahan peminat yang mahukan perubahan dalam FAM tidak mampu mengubah pendirian ahli gabungan jika orang-orang yang sama mengisi sebahagian besar portfolio di FAM.
“Sebenarnya kita di luar ini ibarat pepatah ‘anjing menyalak bukit’. Bukit tidak runtuh dan akhirnya anjing pula yang dimaki atau dikatakan bodoh, buat penat sahaja menyalak. Kita dekat luar, kalau sudah mereka sendiri yang membuat pilihan, jadi kita kena terima sahaja,” katanya.
Pekan juga percaya bahawa syarat lima tahun pembabitan dalam bola sepak menjadi antara faktor utama kurangnya calon muka baharu yang bakal bertanding di Kongres Pemilihan FAM bulan depan.
The post Ahli gabungan lepas peluang terbaik appeared first on Kosmo Digital.



