Auto Added by WPeMatico

![]()
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) minggu lalu telah membuka satu lembaran baharu dalam usaha merungkai pelbagai persoalan yang berlegar dalam kalangan rakyat serta pendeposit sejak beberapa tahun lalu.
Apa jua dapatan serta rumusan RCI mengenai TH sebelum ini, rasanya ia bukan sekadar untuk kita meneliti episod lalu, tetapi paling penting ketika ini ialah usaha bagaimana untuk mengembalikan keyakinan 9.7 juta pendeposit terhadap institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam itu.
Tanpa keyakinan, sebuah institusi kewangan boleh goyang dan sukar untuk menghadapi cabaran di depan hari.
TH bukan bank biasa. Ia adalah institusi yang diwujudkan bagi membantu umat Islam menyimpan wang secara patuh syariah untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Lebih daripada itu, TH turut menjadi instrumen pelaburan yang memberikan pulangan kompetitif kepada para pendeposit. Rekod pencapaiannya selama beberapa dekad membuktikan bahawa institusi ini telah banyak menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi umat Islam di negara ini.
Selama puluhan tahun, TH menjadi simbol pengurusan kewangan Islam yang berjaya, bukan sahaja di Malaysia malah sering dijadikan contoh di peringkat antarabangsa.
Justeru, apabila timbul kontroversi berkaitan pengurusannya, yang paling besar terjejas ialah kepercayaan masyarakat terhadap institusi itu sendiri.
Tugas paling mencabar pengurusan TH ketika ini ialah membuktikan bahawa segala pengajaran daripada apa yang telah berlaku sebelum ini telah benar-benar diterjemahkan kepada pembaharuan.
Pendeposit mahu melihat perubahan dalam aspek tadbir urus, pengurusan risiko, ketelusan dan akauntabiliti.
Beri penjelasan kepada rakyat serta pendeposit, jangan biarkan mereka dalam keraguan melalui pelbagai berita-berita berbentuk spekulasi di media sosial. Kerana itu, TH perlu lebih proaktif menjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat.
Sebagai institusi yang berkait rapat dengan kepentingan awam, TH perlu diyakinkan bebas daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan keputusan profesional.
Pendeposit mahu melihat bahawa setiap keputusan dibuat berdasarkan prinsip tadbir urus yang baik, kepakaran dan kepentingan jangka panjang institusi, bukannya pertimbangan untuk kepentingan lain.
Hakikatnya, kepercayaan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina tetapi boleh terjejas dalam masa yang singkat. Sebab itu usaha memulihkannya memerlukan komitmen yang berterusan.
TH perlu menunjukkan bahawa setiap penambahbaikan bukan sekadar tindak balas kepada tekanan semasa, tetapi sebahagian daripada budaya pengurusan yang baharu dan lebih kukuh.
Akhirnya, kejayaan sebenar RCI bukan sekadar mengenal pasti kelemahan lampau atau mengemukakan syor penambahbaikan.
Kejayaannya hanya akan benar-benar bermakna apabila masyarakat kembali meletakkan kepercayaan kepada TH.
The post Jangan biarkan pendeposit TH dalam keraguan appeared first on Kosmo Digital.
