
Tidak ramai yang tahu, di sebalik kejayaan Syafiq Farhain mengukuhkan nama sebagai penyanyi solo, pernah wujud satu perancangan besar yang berpotensi mengubah perjalanan kerjayanya.
Anak kepada legenda rock Allahyarham Saleem itu sebenarnya pernah dilamar untuk menjadi vokalis baharu kumpulan Iklim, sekali gus meneruskan legasi kumpulan yang cukup berpengaruh di Malaysia dan Indonesia di era 90-an itu.
Namun, impian itu tidak pernah menjadi kenyataan. Lebih mengejutkan, Syafiq mendakwa dia disingkirkan daripada perancangan tersebut secara tiba-tiba tanpa mengetahui punca sebenar, biarpun pelbagai persiapan termasuk rakaman demo dan perbincangan hala tuju kumpulan sudah dilakukan.
Menurut Syafiq, pelawaan itu diterima selepas kekosongan posisi vokalis apabila Azmani tidak lagi bersama kumpulan tersebut.
“Memang ada pelawaan daripada Iklim untuk saya menjadi vokalis selepas Azmani. Ketika itu kami bukan sekadar berbincang, malah sudah merancang pelbagai perkara termasuk menghasilkan dua lagu yang benar-benar mempunyai identiti seperti lagu-lagu Iklim.
“Demo pun sudah dibuat, kami juga bermesyuarat mengenai hala tuju selepas itu termasuk perancangan konsert. Malangnya, semua itu terhenti begitu sahaja di pertengahan jalan,” katanya.
Penyanyi berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengakui sehingga kini dia sendiri tidak mengetahui punca sebenar perancangan tersebut terkubur.
“Sampai sekarang saya sendiri tak tahu apa sebabnya. Bukan isu hak atau konflik keluarga. Mungkin soal senior dan junior, tetapi saya pun tak pasti. Apa yang berlaku, tiba-tiba saya dimaklumkan saya tidak lagi bersama mereka. Bila saya bertanya, jawapan yang diberi hanya kami tidak sehaluan.
“Sedangkan dari awal saya sudah beritahu saya tidak mahu menyertai Iklim sebagai ahli tetap. Saya cuma cadangkan kita bekerjasama dalam bentuk projek kerana saya juga ada komitmen dan perjalanan kerjaya sendiri.
“Saya tak boleh ikut rentak orang lain sepenuhnya. Mungkin perkara itu sukar diterima, akhirnya saya diketepikan,” katanya.

Pengalaman itu, kata Syafiq, membuatkan dia lebih memahami kata-kata Allahyarham bapanya yang pernah berkongsi pengalaman sepanjang bersama Iklim.
“Bila perkara ini berlaku, saya terus teringat apa yang pernah arwah ayah ceritakan kepada saya. Bukan nak membuka aib sesiapa, tetapi arwah pernah berpesan, ‘Aku dengan Iklim dah lama, aku tahulah macam mana.’
“Ketika itu saya anggap sebagai satu nasihat dan peringatan sahaja. Selepas melalui sendiri pengalaman ini, barulah saya faham sedikit sebanyak apa yang dimaksudkan oleh arwah,” katanya.
Meskipun pernah melalui episod mengecewakan, Syafiq menegaskan dia tidak menyimpan sebarang dendam dan masih bersedia menjalin kerjasama jika peluang itu hadir semula, asalkan semua perancangan dilakukan secara profesional.
“Saya tak ada masalah dengan sesiapa. Kalau mereka datang semula dan ada perancangan yang betul-betul jelas, kita bincanglah secara baik. Kalau nampak hala tuju yang baik, kenapa tidak?
“Cuma pengalaman sebelum ini membuatkan saya lebih berhati-hati. Banyak perancangan yang dijanjikan akhirnya tidak menjadi. Bila sudah beberapa kali perkara sama berlaku, sudah tentu saya tak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Kalau ada kerjasama sekali pun, saya cuma berharap semuanya berjalan dengan baik dan jangan gunakan nama saya untuk perkara yang akhirnya tidak menjadi,” katanya.

Dalam masa sama, Syafiq turut berkongsi pandangannya mengenai penggunaan nama Iklim yang kini dikaitkan dengan beberapa kumpulan berbeza.
Menurutnya, jenama sebesar Iklim seharusnya dipelihara agar legasinya tidak tercalar.
“Mungkin kenyataan ini kedengaran agak keras, tetapi pada pendapat saya, kalau Iklim sudah berkubur, biarlah ia berkubur dengan bermaruah.
“ Nama Iklim sangat besar, bukan di Malaysia sahaja tetapi juga di Indonesia. Saya sendiri terkejut apabila ke Indonesia dan mendapati lagu-lagu Iklim masih menjadi antara yang paling dikenali di sana.
“Sebab itu kalau nak menggunakan nama Iklim, pastikan mereka yang membawanya benar-benar mampu menjaga identiti dan kualitinya. Jangan sampai orang keliru atau merasakan standard Iklim semakin menurun hanya kerana persembahan yang tidak mencapai tahap sepatutnya,” katanya.
Atas rasa tanggungjawab terhadap legasi bapanya, Syafiq mengakui dia sendiri masih belum berani merealisasikan konsert tribut khas buat Allahyarham Saleem dan Iklim.
“Ramai yang mencadangkan supaya saya buat konsert tribut, tetapi terus terang saya belum berani. Saya rasa tanggungjawab itu terlalu besar kerana saya anak kepada arwah. Saya tak mahu buat sesuatu yang akhirnya menjatuhkan standard atau legasi Iklim.
“Kalau suatu hari nanti saya lakukan juga, saya mahu ia benar-benar memberi impak yang baik dan menghormati nama besar yang ditinggalkan arwah,” katanya.
The post Biarlah Iklim ‘berkubur’ sahaja -Syafiq Farhain appeared first on Utusan Malaysia.





