Auto Added by WPeMatico

![]()
KEJAYAAN skuad angkat berat muncul penyumbang terbesar pingat emas negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuka lembaran baharu apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia meneliti permohonan tambahan peruntukan RM1 juta setahun yang dikemukakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pencapaian lima pingat emas di Glasgow membuktikan angkat berat kini berada dalam kelompok sukan berpotensi besar untuk menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia di Sukan Olimpik.
Katanya, beliau sudah menghubungi Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat serta beberapa wakil persatuan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keperluan sebenar, termasuk aspek kebajikan dan imbuhan jurulatih.
“Saya telah menghubungi Datuk Ayub dan beberapa wakil Persatuan Angkat Berat untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.
“Saya difahamkan antara keperluan utama adalah berkaitan kos operasi serta gaji jurulatih dan perkara itu akan diperincikan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Beliau berkata, kerajaan telah menyalurkan RM4.1 juta bagi pembangunan sukan angkat berat sepanjang tahun ini yang meliputi program pembangunan atlet, jurulatih serta inisiatif Road to Gold (RTG), Program Podium, Pelapis dan pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, ketika ini dua atlet berada di bawah program RTG, lapan atlet menyertai Program Podium, manakala dua lagi berada dalam Program Pelapis sebagai usaha memastikan kesinambungan prestasi sukan tersebut.
Mengulas permohonan PABM supaya peruntukan tahunan kepada persatuan ditingkatkan kepada RM1 juta, Taufiq menjelaskan perkara itu akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan keperluan sebenar dan bukannya melihat kepada angka semata-mata.
“Kita perlu melihat pecahan perbelanjaan itu terlebih dahulu. Boleh jadi besar, boleh jadi kecil, tetapi yang penting ia realistik dan benar-benar memenuhi keperluan pembangunan sukan tersebut.
“Walau apa pun, RM4.1 juta telah kita salurkan bagi pembangunan sukan angkat berat Malaysia untuk tahun ini dan perkara berkaitan tambahan peruntukan akan dibincangkan dengan lebih mendalam,” katanya.
Kejayaan lima emas di Glasgow dilihat mengukuhkan lagi kedudukan angkat berat sebagai antara sukan prospek negara, sekali gus meletakkan persatuan itu dalam kedudukan lebih kukuh untuk mendapatkan sokongan tambahan bagi memperkasakan program pembangunan atlet dan jurulatih menjelang kitaran Olimpik akan datang.
The post KBS teliti permohohan PABM appeared first on Kosmo Digital.
