Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR GAJAH – Hasrat seorang pemuda untuk makan angin di Johor tidak kesampaian apabila motosikal yang dia tunggang terbabas sebelum merempuh penghadang besi di Kilometer 196 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Sufian Khairul Anwar, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Ketika kejadian mangsa menunggang sendirian dan setiba di lokasi motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar penghadang besi (guardrail).
“Akibat daripada hentaman tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat waris, mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk makan angin di Johor Bahru.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemuda maut tak sempat makan angin di Johor appeared first on Kosmo Digital.