Auto Added by WPeMatico

![]()
LIMA pingat emas yang dituai pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 sudah cukup membuktikan kemampuan skuad angkat berat negara, sekali gus menjadi hujah terkuat buat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mendapatkan keperluan yang diinginkan.
Pencapaian bersejarah itu menjadi asas kepada rayuan PABM supaya kerajaan meluluskan geran tahunan RM1 juta bagi memastikan sukan yang kini muncul penyumbang pingat emas terbesar negara diberikan perhatian untuk terus melahirkan ‘badang’ negara.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, permintaan itu bukan untuk kepentingan pentadbiran persatuan semata-mata, sebaliknya demi menjamin kelangsungan pembangunan atlet, pencarian bakat baharu dan persiapan jangka panjang menuju Sukan Olimpik.
“Ia bukan mengenai saya dan bukan juga mengenai barisan Exco PABM. Saya sendiri pun sudah penat dan lelah. Apa yang penting adalah masa depan sukan ini.
“Sekurang-kurangnya kami sudah membuka mata rakyat bahawa sudah tiba masanya sukan yang benar-benar mampu menghadiahkan pingat kepada negara diberi keutamaan,” katanya.
Menurut Ayub, angkat berat berdepan cabaran berbeza berbanding kebanyakan sukan lain kerana ia tidak berada dalam sistem kokurikulum sekolah, menyebabkan persatuan perlu mengesan sendiri bakat untuk dibentuk menjadi atlet elit.
Katanya, atlet sedia ada semakin meningkat usia dan pencarian pelapis tidak boleh lagi ditangguhkan jika Malaysia mahu terus kekal kompetitif di Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.
“Kita perlukan dana untuk pengurusan, pembangunan dan program pencarian bakat. Persatuan negeri juga berdepan kekangan kewangan. Kalau kita tidak mula melabur sekarang, siapa yang akan menggantikan atlet sedia ada beberapa tahun lagi?” katanya.
Lebih membimbangkan, Ayub mendedahkan atlet angkat berat memerlukan pemakanan berkualiti bagi menyokong latihan berintensiti tinggi, namun bajet yang terhad menyukarkan penyediaan nutrisi terbaik walaupun mereka tetap diharapkan membawa pulang pingat emas.
“Orang di sekolah asrama pun belanja makan sudah lebih RM20 sehari. Atlet angkat berat pula perlu makan ayam, daging dan sumber protein setiap hari. Ada yang makan sehingga 10 biji telur sehari, tetapi dengan bajet RM30 kita diminta membawa pulang pingat emas. Peringkat Komanwel ini baru naik hingga RM70,” katanya.
Beliau berkata, bukan sahaja pemakanan menjadi isu, malah peruntukan bagi penganjuran Kejohanan Kebangsaan yang hanya sekitar RM35,000 juga jauh daripada mencukupi apabila kos sebenar mencecah hampir RM100,000.
“Kita diminta mencari bakat baharu, tetapi peruntukan tidak mencukupi. Kalau hendak lahirkan lebih ramai juara, kejohanan kebangsaan mesti diperkasakan kerana di situlah kita mengesan pelapis,” katanya.
Ayub turut mendedahkan selama ini banyak urusan persatuan terpaksa didahulukan menggunakan wang sendiri, termasuk kos perjalanan, penginapan dan pengurusan bagi menghadiri kejohanan di dalam serta luar negara.
“Saya sendiri banyak menggunakan wang sendiri. Tiket kapal terbang, hotel, makan dan pelbagai urusan lain saya dahulukan sendiri. Kita bukan minta puluhan juta ringgit seperti sesetengah sukan lain, sedangkan kita sudah membuktikan kemampuan menghadiahkan pingat kepada negara,” katanya.
Menurutnya, PABM hanya memohon geran tahunan RM1 juta bagi membolehkan persatuan merancang pembangunan atlet, pengurusan dan pencarian bakat secara lebih sistematik.
“Kami bukan minta banyak. Berilah geran RM1 juta setahun. Dengan lima pingat emas yang kita menangi, rasanya permintaan itu tidak keterlaluan. Angkat berat sudah membuktikan kita juga lubuk pingat negara,” katanya.
The post ‘Permintaan kami tidak keterlaluan’ appeared first on Kosmo Digital.
