
![]()
KUALA LUMPUR: Pengacara dan hos, Maria Tengku Sabri, 55, enggan melayan sebarang kecaman dan ejekan fizikal yang diterimanya gara-gara penurunan berat badan yang keterlaluan selepas melakukan pembedahan bariatrik.
Menurut Maria, yang lebih mustahak adalah kesihatannya yang menunjukkan peningkatan positif selepas melakukan pembedahan berkenaan pada Julai tahun lalu.
“Saya tidak kisah orang nak cakap apa sebab mereka tidak berada di tempat saya. Sebenarnya doktor sudah melakukan saringan kesihatan dan memberi saya tempoh tiga bulan untuk saya kuruskan badan. Jika tidak dia terpaksa menyuruh saya mengambil ubat kencing manis dan kolesterol selain ubat darah tinggi yang telah saya ambil sejak 19 tahun lalu.
“Jadi saya fikirkan kesihatan saya dan tidak kisah apa cakap orang. Mereka nak kata saya terlalu kurus, ibarat makcik berbangsa Cina, malah ada yang memanggil saya Roslan shah, saya tak kisah semua itu.
“Yang penting suami dan anak-anak saya tahu saya melakukan bariatrik demi kesihatan. Insha-Allah saya mahu hidup sihat, umur panjang dan melihat anak-anak saya berumah tangga,” kongsinya selepas sesi memperkenalkan barisan peserta Kilauan Emas Selebriti 2026 di Astro Bukit Jalil di sini semalam.
Bercerita lanjut, Maria memaklumkan dia sebelum itu mencuba bermacam-macam cara untuk kurus namun gagal kerana nafsu makan yang tidak terkawal.
“Doktor bagi masa tiga bulan untuk saya kuruskan badan sedangkan dalam tempoh itu saya tak mampu berbuat demikian kerana saya seorang yang suka makan.
“Saya sudah cuba pelbagai cara untuk mengawal pemakanan tapi tidak berhasil. Saya berpuasa, cuba ubat kurus yang dinamakan saxenda, bermacam-macam cara lagi tetapi gagal.
“Saya tak boleh terima apabila doktor menasihatkan saya untuk mengambil ubat (kencing manis, kolesterol dan darah tinggi) kerana saya mahu menjaga kesihatan buah pinggang saya. Sebab itu, dengan izin Allah, saya mahu sihat.
“Tepat masanya apabila adik angkat saya yang juga peserta Akademi Fantasi musim ke-11, Muhd Fareezuan Adnan mencadangkan saya untuk berjumpa pakar pembedahan bariatrik yang berminat untuk menaja pembedahan tersebut bagi mengatasi masalah saya. Saya kata kenapa tidak,” ujarnya.
Pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan itu sebolehnya mahu mengelak pengambilan ubat-ubatan untuk mengawal kecing manis dan kolesterol kerana risau kepada kesihatan buah pinggang yang berpotensi rosak sekiranya ubat-ubat tersebut diambil tanpa air yang mencukupi.
“Selepas disarankan doktor untuk mengambil ubat-ubatan, saya mengambil masa dua minggu berfikir tentang kesihatan buah pinggang saya. Saya tahu pengambilan ubat-ubatan ini lambat laun akan merosakkan organ tersebut jika diambil tanpa air mencukupi.
“Tambahan pula saya memang suka minuman manis, sejak dulu mengamalkan air berperisa. Susah untuk melihat saya minum air kosong,” jelasnya.
Maria bersyukur kerana kesihatannya menunjukkan perubahan positif selepas melakukan pembedahan itu. Lebih menggembirakan dirinya apabila dia tidak perlu mengambil ubat-ubatan yang disarankan doktor termasuk ubat darah tinggi yang diambilnya sejak 19 tahun lalu.
“Selepas membuat pembedahan itu, saya rasa kesihatan saya bertambah baik. Saya sudah berhenti mengambil ambil ubat darah tinggi selepas 19 tahun memakannya dan tak perlu mula memgambil ubat kecing manis serta kolesterol.
“Setiap bulan saya melakukan ujian darah dan doktor mendapati fungsi dalaman saya ibarat wanita berusia 18 tahun. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana sekarang sudah sihat tanpa penyakit tiga serangkai,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Maria menafikan melakukan pembedahan bariatrik untuk kelihatan cantik.
“Saya tidak pernah melakukan pembedahan bariatrik untuk kelihatan cantik. Malah saya sejak dulu tidak pernah mengambil pusing soal itu.
“Perhatikan video masakan saya di Instagram, saya sentiasa kelihatan selekeh tanpa mengenakan secalit solekan dengan rambut yang tidak terurus. Itu membuktikan saya tidak pernah menjaga kecantikan saya.
“Yang penting adalah sihat supaya saya dapat menjaga suami dan anak-anak serta cucu saya,” kongsinya lagi.
Peserta Kilauan Emas Selebriti itu dalam masa yang sama tidak menolak keperluan untuk mengawal berat badan agar tidak turun di bawah paras yang sepatutnya.
“Saya setuju dengan perkara itu kerana selepas awal melakukan bariatrik, berat saya dalam lingkungan 47 kilogram sahaja. Suami saya juga menyedari hal itu.
“Bahkan apabila saya melihat cermin, memang benar fizikal saya kelihatan terlalu kurus. Malah doktor juga risau dengan penurunan berat badan saya yang dibawah paras sepatutnya.
“Saya sendiri fobia melihat keadaan saya waktu itu yang jalan membongkok dengan dada dan punggung tak berisi. Saya tak nak begitu.
“Jadi saya berusaha menaikkan sedikit berat badan saya, dengar cakap doktor dan suami, sedar diri. Alhamdulillah sekarang ini berat saya diparas ideal dan saya nampak lebih sihat,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Maria menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dia perlu berpantang dan dilarang memakan makanan tertentu selepas melakukan pembedahan bariatrik.
Katanya tiada kekangan untuk memakan apa sahaja jenis makanan namun perlu pada kadar berpatutan.
“Siapa kata selepas melakukan pembedahan bariatrik tak boleh makan seperti biasa? Siapa kata tak boleh makan paru dan kerang serta Nasi Lemak? Anda boleh makan semua jenis makanan cuma dalam kadar sedikit demi sedikit. Tak ada pantang sedikit pun.
“Malah apabila melakukan ujian darah, kesihatan saya masih normal. Paras gula, kolesterol dalam keadaan terkawal. Alhamdulillah.
“Tipsnya adalah makan biar berpada-pada. Adalah juga keinginan untuk makan makanan manis, jadi saya turutkan. Kalau saya mahu makan ais krim, saya makan. Malah dalam sehari saya makan enam kali, cuma setiap hidangan itu berkadar,” sambungnya. – UTUSAN
The post Malah ada yang gelar saya ‘Roslan Shah’ – Maria Tengku Sabri tepis ejekan fizikal appeared first on Utusan Malaysia.





