
BALING: Penganjuran sulung Baling Escapade Festival (BEF) 2026 mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya memberi impak positif kepada ekonomi setempat serta memperkukuh kedudukan Baling sebagai destinasi pelancongan berasaskan acara, warisan budaya dan gastronomi di Kedah.
Bertemakan “Escape. Explore. Experience Baling”, BEF2026 dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti, budaya dan pengalaman.
Festival dianjurkan oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates Blue), menghimpunkan lebih 60 usahawan yang menawarkan pelbagai produk makanan, minuman, produk tempatan dan gaya hidup.
Ia sekali gus membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperluaskan pasaran serta memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar Kedah.
Pengarah Urusan Raydiates Blue, Rayme Zainal berkata, BEF2026 muncul platform pembangunan ekonomi komuniti yang menggabungkan elemen keusahawanan, pelancongan, gastronomi dan warisan budaya dalam satu festival yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, matlamat utama menjadikan festival itu bukan sekadar tempat berniaga tetapi juga memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk, membina jenama, menambah rangkaian pelanggan dan meningkatkan jualan melalui kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Katanya, kejayaan edisi sulung ini membuktikan bahawa Baling mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi festival yang mampu menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Sepanjang festival berlangsung, pelbagai pengisian telah disediakan termasuk Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta, reruai usahawan, bazar makanan, trak makanan, pameran agensi kerajaan, aktiviti keluarga serta pelbagai program komuniti yang memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejayaan BEF 2026 turut didorong oleh sokongan padu daripada pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Kedah, Majlis Amanah Rakyat Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Daerah Baling yang bersama menyokong pembangunan pelancongan, keusahawanan serta ekonomi komuniti di daerah Baling.
Festival itu turut menerima sokongan daripada syarikat bumiputera, Smartfix Pro Centre, sebagai penaja rasmi sekali gus mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Baling sebagai destinasi festival yang mampu memberi nilai ekonomi kepada komuniti dan usahawan tempatan.
“Selain memberi fokus kepada pembangunan usahawan, BEF 2026 turut mengetengahkan warisan gastronomi Kedah menerusi Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta yang menampilkan pelbagai makanan tradisional, produk tempatan serta demonstrasi masakan warisan,” katanya.
Rayme menambah, The Cultural Jam @ Baling menjadi antara tarikan utama festival apabila mengetengahkan pelbagai persembahan seni budaya tradisional yang semakin sukar ditemui dalam penganjuran festival moden.
Program tersebut menampilkan persembahan Wayang Kulit, Menora, Silat Melayu, demonstrasi seni mempertahankan diri tradisional serta pelbagai persembahan budaya rakyat yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali semula kekayaan warisan seni Malaysia. – UTUSAN
The post BEF2026 perkasa usahawan, angkat warisan budaya di Baling appeared first on Utusan Malaysia.
