
![]()
SEBERANG PERAI – Polis menahan dua kenalan kepada wanita yang maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumahnya di aras satu, Flat Sri Murni, Butterworth di sini, petang semalam.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! Online, hari ini.
Menurutnya, penahanan ke atas kedua-dua lelaki terbabit dilakukan sejurus polis menerima maklumat berhubung kematian mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 41 tahun.
“Kedua-dua suspek telah ditahan dan akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita masih mengumpul maklumat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa turut mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun dan dikatakan tinggal bersamanya.
Tambah beliau lagi, polis masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kepala batas.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang ibu tunggal ditemukan maut selepas dipercayai dikelar pada leher dalam kejadian di rumahnya, semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Dua kenalan ditahan bantu siasatan kes kelar ibu tunggal appeared first on Kosmo Digital.