Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penyakit berkaitan jerebu melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel jerebu di seluruh negara didapati menurun bagi ketiga-tiga penyakit.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, situasi itu dipantau pada Minggu Epidemiologi (ME) 37/2026 berbanding ME 36/2026, melibatkan Jangkitan Saluran Pernafasan Atas (URTI) menurun daripada 7,065 kes kepada 5,639 kes atau 1,426 kes (20.18 peratus).
Katanya, penyakit berkaitan Asma pula menurun daripada 1,117 kes kepada 722 kes pada iaitu penurunan sebanyak 395 kes (35.36 peratus).
“Penyakit Konjunktivitis juga menurun daripada 334 kes kepada 227 kes iaitu penurunan sebanyak 107 kes (32.04 peratus).
“Walaupun terdapat penurunan kes penyakit berkaitan jerebu yang dipantau, KKM akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan, khususnya di kawasan yang merekodkan kualiti udara pada tahap Tidak Sihat,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KKM telah melaksanakan tindakan-tindakan berikut seperti memantau kes URTI, asma, dan konjunktivitis setiap hari melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel jerebu.
Selain itu, menilai bacaan IPU bersama-sama data survelan kesihatan bagi menentukan tindakan kesihatan awam serta mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan sejak 4 September lalu untuk menyelaras pemantauan dan respons.
“Memastikan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, termasuk ketersediaan ubat-ubatan, bekalan oksigen, dan peralatan perubatan berkaitan.
“Mempergiat pendidikan kesihatan, komunikasi risiko dan penyampaian nasihat kesihatan kepada orang ramai, khususnya kepada golongan berisiko,” katanya.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang berada di kawasan dengan kualiti udara Tidak Sihat, supaya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menangguhkan penganjuran aktiviti luar yang melibatkan aktiviti fizikal lasak semasa keadaan berjerebu.
Ini kerana, katanya, aktiviti fizikal lasak meningkatkan kadar pernafasan dan seterusnya meningkatkan jumlah udara tercemar yang disedut.
“Mengurangkan aktiviti di luar bangunan, khususnya bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung.
“Mengehadkan tempoh berada di luar bangunan kepada urusan yang perlu sahaja dan menggunakan pelitup muka yang sesuai apabila berada di kawasan yang terjejas,” katanya. – UTUSAN
The post Tiga penyakit berkaitan jerebu menurun, KKM terus pantau situasi appeared first on Utusan Malaysia.
