Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan amaran kepada pengunjung di sekitar kawasan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) supaya lebih berwaspada dengan kehadiran jurugambar jalanan atau “ulat foto” tanpa kebenaran.
Tindakan itu diambil susulan peningkatan isu aktiviti rakaman gambar tidak terkawal yang didakwa mula menimbulkan rasa kurang selesa, gangguan fizikal, malah risiko keselamatan kepada orang awam serta pelancong.
DBKL dalam satu kenyataan di laman Instagram rasminya menegaskan, aktiviti tersebut bukan sahaja mencacatkan pengalaman pengunjung, malah boleh mendedahkan mereka kepada risiko penipuan serta ancaman terhadap keselamatan barangan peribadi.
“Walaupun ada yang berhasrat merakam detik indah, realitinya aktiviti tidak terkawal ini boleh menimbulkan gangguan kepada orang awam, malah risiko keselamatan yang tidak wajar berlaku di ruang bandar kita.
“Justeru, setiap lokasi terutamanya kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC dan pusat bandar perlu kekal sebagai ruang yang selamat, selesa dan menyenangkan untuk semua,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, DBKL turut memaklumkan pihaknya kini sedang menjalankan operasi penguatkuasaan yang dikenali sebagai ‘Op Lens’ bagi menangani isu tersebut secara berfasa.
Tindakan yang diambil bukanlah bertujuan untuk menyekat rezeki mana-mana pihak, sebaliknya merupakan langkah penting bagi memastikan setiap sudut ibu kota kekal teratur dan selamat.
“Kita mahukan Kuala Lumpur terus dikenali sebagai bandar yang mesra, harmoni dan berdaya huni. Ini hanya dapat dicapai apabila semua pihak memainkan peranan menghormati peraturan serta menjaga tingkah laku di ruang awam,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati rata-rata warga kota menyokong tindakan tegas itu bagi mengelakkan imej ibu kota terjejas di mata pelancong asing.
Orang ramai yang berkunjung ke kawasan berkenaan dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran jurugambar jalanan yang mencurigakan demi menjaga keselamatan diri serta harta benda.-KOSMO! ONLINE.
The post Awas ‘ulat foto’ sekitar KLCC appeared first on Kosmo Digital.
