Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Hospital Kuala Lumpur (HKL) memaklumkan Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital itu yang tular digambarkan seperti zon perang, sebenarnya sedang dalam projek naik taraf dengan jangkaan siap akhir tahun ini.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K.R Nair berkata, pihaknya mengambil maklum dan prihatin berhubung perkongsian di media sosial kelmarin berhubung gambaran yang diberikan kepada jabatan tersebut.
Menurutnya, projek dilaksanakan itu sebagai perancangan strategik untuk menampung kapasiti pesakit yang bertambah bagi keselesaan pesakit.
“Sepanjang projek ini berlangsung, Jabatan Kecemasan dan Trauma terpaksa beroperasi di atas kawasan yang mengecil sebanyak 50 peratus, manakala 50 peratus lagi adalah bagi laluan projek naik taraf tersebut.
“Walau bagaimanapun, perkhidmatan kesihatan di jabatan ini masih diteruskan dengan mengamalkan prinsip no wrong door (tiada pintu salah),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, HKL akan sentiasa memastikan operasi Jabatan berjalan lancar dengan semua kes diberikan perawatan mengikut prosedur standard operasi.
“Infrastruktur yang kelihatan uzur adalah bersifat sementara kerana proses ubah suai bagi menampung projek naik taraf.
“Kerusi-kerusi bagi pesakit dan waris yang menunggu akan ditambah mengikut kapasiti khemah menunggu sedia ada bagi meningkatkan keselesaan pelanggan,” katanya.
Ujarnya, pihak pengurusan HKL mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat dan sentiasa bersikap terbuka menerima cadangan. – KOSMO! ONLINE
The post Bukan ‘zon perang’, tapi kerja naik taraf – HKL appeared first on Kosmo Digital.
