
MUAR – Seorang pengait sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merogol adik ipar perempuan sejak awal tahun ini.
Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua dua pertuduhan dikemukakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol adik iparnya berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang, pada pukul 1 pagi, Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi didakwa melakukan perkara itu terhadap mangsa sama di rumah berlainan pada pukul 12. 01 tengah malam, 31 Ogos lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, mahkamah bertanyakan tertuduh sama ada mahu membuat rayuan bagi permohonan ikat jamin namun lelaki itu menolaknya kerana tiada wang untuk membayar menyebabkan tertuduh dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk ditahan sementara.
Mahkamah kemudian tidak menawarkan ikat jamin dan menetapkan 7 Oktober ini untuk fakta dan hukuman. – KOSMO! ONLINE
The post Pengait sawit lempias nafsu noda adik ipar appeared first on Kosmo Digital.