Auto Added by WPeMatico

![]()
DAHULU, rumah jadi tempat seorang suami menghilangkan lelah setelah seharian bekerja. Namun kini, setiap sudut kediaman itu seakan-akan menyimpan gema pertengkaran, tangisan anak dan kesunyian yang sulit dijelaskan.
Bagi Rahmat (bukan nama sebenar), segala-galanya berubah selepas isterinya semakin kerap menghisap shisha, terutama selepas mereka dikurniakan cahaya mata kedua.
Pada awalnya, lelaki berusia 42 tahun itu menganggap menghisap shisha sekadar hobi untuk bersantai, sebelum akhirnya bertukar menjadi rutin yang merenggut masa, perhatian dan keharmonian keluarga.
Membuka kisah bersama K-Wanita, Rahmat yang berasal dari Jerantut, Pahang berkata, sebelum berkahwin, isterinya memang sudah mengenali shisha, namun keadaan semakin menjadi-jadi selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Lebih membimbangkan, isterinya mula mengenali sekumpulan rakan wanita yang turut gemar menghabiskan masa di kedai shisha. Mereka kerap keluar malam dan pulang hanya pada awal pagi.
“Pada mulanya, saya tidak kisah sangat sebab saya anggap dia cuma hendak bersantai dengan kawan-kawan.
“Saya fikir, sesekali keluar malam tidak menjadi masalah kerana masing-masing perlukan masa untuk berehat.
“Namun lama-kelamaan, kekerapan itu semakin menjadi-jadi. Balik semakin lewat dan ada masanya, saya sendiri terpaksa menguruskan anak-anak sedangkan dia masih di luar berseronok bersama kawan-kawan,” katanya.
Menurut Rahmat yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta, keadaan itu membuatkan dirinya berasa seolah-olah tanggungjawab rumah tangga dipikul seorang diri.
Lebih menyedihkan katanya, dua anak mereka semakin kurang mendapat perhatian apabila isterinya lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah.
“Saya ada tegur dia (isteri) baik-baik dan langsung tiada niat mahu mengongkong hidupnya.
“Saya cuma mahu dia faham bahawa selepas berkahwin dan ada anak, kita ada tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Saya pernah beritahu, kalau keluar sekali-sekala tidak mengapa. Tetapi apabila hampir menjadi rutin mingguan dan balik lewat malam, siapa hendak bantu uruskan anak-anak,” ujarnya.
Rahmat memaklumkan, tegurannya itu tidak mendapat reaksi seperti yang diharapkan, sebaliknya isterinya sudah berani menjawab dan tidak lagi menunjukkan rasa hormat terhadap dirinya sebagai suami.
Dalam beberapa pertengkaran yang masih terngiang-ngiang di fikirannya, isterinya sanggup menuntut perceraian sekiranya Rahmat sudah bosan hidup dengannya.
“Kata-katanya itu benar-benar menghancurkan hati saya.
“Dia cakap, kalau saya sudah bosan hidup dengannya, ceraikan sahaja dan usah lagi simpan.
“Saya tidak sangka, orang yang saya sayang dan nikahi hampir sedekad lalu itu tergamak berkata begitu. Saya bukan marah sebab dia ada kawan atau mahu bersosial.
“Saya terluka kerana apabila cuba selamatkan rumah tangga, teguran saya dianggap sebagai punca penceraian kami,” katanya dalam nada kesal.
Bagi Rahmat, perkara paling menyakitkan bukan sekadar melihat isterinya menghisap shisha, tetapi apabila tabiat itu mula mencuri masa yang sepatutnya diberikan kepada keluarga.
Katanya, setiap kali isterinya keluar pada waktu malam, dia sering terfikir mengenai dua anak mereka yang masih memerlukan perhatian seorang ibu.
Ada ketika, dia hanya mampu menyimpan rasa marah kerana tidak mahu anak-anak melihat ibu bapa mereka bertelagah.
“Saya bodoh kerana terlalu lama berharap keadaan akan berubah dengan sendirinya.
“Saya fikir, apabila anak-anak semakin besar, dia akan sedar bahawa keluarga perlu diutamakan.
“Rupanya saya silap kerana masalah itu semakin jauh daripada penyelesaian.
“Andai dapat diundurkan masa, saya mahu kami berbincang lebih awal dan mencari jalan untuk selamatkan rumah tangga sebelum semuanya (perceraian) berlaku.
“Jujur, saya masih sayangkan keluarga ini, tetapi saya juga sudah terlalu penat dan muak menanggung semuanya seorang diri,” tutupnya.
The post Suami sengsara hidup dengan bini ‘kaki’ shisha appeared first on Kosmo Digital.
