
![]()
KAJANG – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kejadian gangguan seksual di kawasan stesen MRT Kajang yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 23 saat itu mula tular di aplikasi Threads pada Khamis lalu kira-kira pukul 6.15 petang.
“Suspek berjaya ditahan di kediamannya di Taman West Country, Bandar Baru Bangi semalam.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang bagi permohonan perintah reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nor Atiqah Anuar di talian 013-7948922.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa dia diraba oleh seorang lelaki ketika duduk menunggu di pintu keluar Stesen MRT Kajang.
Wanita itu bagaimanapun hanya sempat merakam arah belakang lelaki berbaju warna merah itu selepas beredar dari kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki ditahan kes gangguan seksual MRT Kajang appeared first on Kosmo Digital.
