
HARARE – Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa menandatangani rang undang-undang yang mewajibkan semua pemandu membeli lesen radio sebelum memperbaharui insurans kenderaan mereka, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Tindakan tersebut menerima bantahan daripada sebilangan pemandu kerana mereka kini perlu membayar sebanyak ZWG$2,447 (RM380) setiap tahun untuk mendengar radio di dalam kenderaan mereka.
Pengenalan langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk meluaskan sumber pendapatan bagi penyiar negara tetapi pengkritik berkata, bayaran lesen itu terlalu tinggi, terutamanya ketika keadaan ekonomi sukar.
Ketua pembangkang, Nelson Chamisa berkata, undang-undang baharu itu terlalu drakonian, anti warganegara dan langsung tidak berhati perut.
Menjawab kebimbangan pemandu kenderaan di media sosial, seorang pegawai kanan di Kementerian Penerangan, Nick Mangwana berkata, undang-undang baharu itu adalah perlu dan adil.
Terdapat kira-kira 1.2 juta kereta berdaftar di Zimbabwe tetapi hanya 800,000 daripadanya membayar insurans, demikian menurut media tempatan. – AGENSI
The post Dengar radio dalam kereta wajib beli lesen appeared first on Kosmo Digital.