Auto Added by WPeMatico

BENTONG – Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa tindakan menggantung Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) terhadap pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan serius tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya hanya selepas siasatan menyeluruh dijalankan.
Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah tegas itu bukan untuk menghukum secara sembarangan, sebaliknya bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.
“Kalau didapati melakukan kesalahan serius, lesen PSV boleh digantung, bukan lesen memandu mereka. Tetapi hanya selepas siasatan lengkap dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di tapak projek Terowong Genting Jalan Lama Bentong-Karak di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain penggantungan lesen, pemandu terlibat juga diwajibkan menjalani kursus semula atau ‘refresher course’ sebelum dibenarkan kembali memandu.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung lesen PSV pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius, selain mewajibkan mereka menjalani kursus semula bagi mendidik dan melatih semula sebelum dibenarkan kembali memandu.
” Langkah baharu itu juga dijangka mempercepat proses disiplin, berbanding sebelum ini susulan tindakan penggantungan lesen hanya boleh dilakukan selepas pemandu disabitkan kesalahan di mahkamah hingga menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama, “katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan syarikat pengendali bas juga tidak terkecuali daripada tindakan sekiranya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengurusan keselamatan.
“Syarikat bas ini, terpulang sama ada SOP mereka perlu diaudit. Kalau SOP keselamatan tidak dipatuhi, maka lesen mereka juga boleh digantung,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.
The post Kemalangan serius: Lesen PSV pemandu bas boleh digantung appeared first on Kosmo Digital.