Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Pahang memberi amaran mengenai kewujudan satu sindiket penipuan urusan permohonan tanah di daerah Bentong yang melibatkan tanah milik Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sindiket berkenaan menawarkan urusan pemberimilikan tanah dengan meminta orang ramai membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses pemberimilikan dilakukan.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak melantik mana-mana individu, ejen ataupun syarikat untuk menjalankan urusan pemberimilikan tanah Kerajaan Negeri di luar prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy menegaskan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau melakukan apa-apa urusan berkaitan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
Tambahnya, orang ramai yang merasakan telah tertipu diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Kerajaan Negeri Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
“Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MB Pahang dedah sindiket penipuan tanah di Bentong appeared first on Kosmo Digital.


