Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Perubahan struktur penduduk semakin ketara di peringkat daerah apabila enam darinya dikenal pasti memasuki fasa menua baharu pada 2026 berbanding 2020.
Perkembangan itu menunjukkan proses penuaan penduduk bukan lagi tertumpu kepada kawasan tertentu, sebaliknya semakin dapat dilihat pada peringkat daerah.
Berdasarkan laporan Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran, 2026 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beberapa daerah kini mencatat komposisi penduduk berusia yang semakin besar.
Enam daerah berkenaan ialah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan komposisi penduduk berusia 65 tahun ke atas sebanyak 7.3 peratus, diikuti Besut, Terengganu dan Melaka Tengah, Melaka, masing-masing 7.2 peratus.
Sementara itu, di Lipis, Pahang Kudat dan dan Keningau, Sabah masing-masing merekodkan komposisi 7.0 peratus.
DOSM turut menunjukkan perbezaan ketara komposisi umur mengikut daerah, termasuk dari segi kumpulan umur muda, umur bekerja, belia dan warga tua.
Negeri Sarawak mendominasi dengan mencatatkan tiga daerah menua baharu dengan komposisi penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi pada 2026 iaitu di Lubok Antu (16.2 peratus), Lingga (15.2 peratus) dan Pantu (15.0 peratus).
Dalam kategori penduduk berumur 60 tahun dan ke atas, Lubok Antu, Sarawak merekodkan komposisi sebanyak 23.1 peratus, antara yang tertinggi dalam laporan berkenaan, diikuti Lingga, Sarawak (20.7 peratus) dan Saratok (20.6 peratus).
Laporan mendedahkan daerah Muallim, Perak memilik penduduk belia tertinggi iaitu 42.5 peratus, diikuti Kalabakan, Sabah serta Kinabatangan, Sabah dengan masing-masing mencatatkan 42.1 peratus dan 41.0 peratus.
Sementara itu, bagi kumpulan umur bekerja antara 15 hingga 64 tahun, Sebauh, Sarawak merekodkan komposisi sebanyak 79.4 peratus, diikuti Belaga, Sarawak (79.0 peratus) kemudian Telang Usan (78.9 peratus).
Bagi kumpulan umur muda antara sifar hingga 14 tahun pula, Tumpat, Kelantan mencatat komposisi sebanyak 31.2 peratus, menunjukkan wujud daerah yang masih mempunyai populasi muda yang besar.
Bagaimanapun, pola demografi berbeza ketara di Kelantan apabila negeri itu mendominasi senarai daerah dengan komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun tertinggi.
Gua Musang mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 31.8 peratus, diikuti Tumpat (31.2 peratus) dan Lojing (31.0 peratus). – KOSMO! ONLINE
The post Port Dickson, Besut paling ramai warga emas appeared first on Kosmo Online.
