Auto Added by WPeMatico

DOLOMITES merupakan antara destinasi paling menakjubkan yang pernah saya lawati sepanjang pengalaman mengembara ke pelbagai negara.
Terletak di utara Itali, kawasan pergunungan ini menawarkan gabungan pemandangan alam yang luar biasa, udara yang segar dan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk pencinta alam semula jadi.
Saya memilih untuk berkhemah di beberapa lokasi sekitar Dolomites bagi merasai sendiri pengalaman berada dekat dengan alam dan ia sememangnya satu keputusan yang tepat.
Salah satu perkara yang paling saya sukai di Dolomites ialah pengalaman memandu. Hampir setiap jalan dilalui menawarkan pemandangan yang cantik.
Gunung-ganang yang menjulang tinggi, padang rumput hijau yang luas, kampung-kampung kecil yang indah dan tasik yang jernih menjadikan setiap perjalanan seolah-olah berada dalam sebuah filem. Kadangkala saya sengaja berhenti di tepi jalan hanya untuk menikmati pemandangan dan mengambil gambar.

Antara aktiviti yang paling saya nantikan ialah mendaki laluan Adolf Munkel Weg. Walaupun perjalanan mengambil masa hampir tiga jam untuk satu hala, saya tidak pernah berasa bosan kerana pemandangan sepanjang laluan sangat memukau.
Trek ini membawa pendaki melalui kawasan hutan, padang rumput dan laluan berbatu dengan panorama gunung yang sentiasa berubah.
Di penghujung pendakian, terdapat sebuah pondok rehat yang menawarkan pemandangan menakjubkan ke arah Lembah Val di Funes dan banjaran gunung Odle yang ikonik. Menikmati makanan dan minuman sambil melihat puncak-puncak gunung yang megah di hadapan mata merupakan pengalaman yang sukar dilupakan.
Selain itu, saya juga berpeluang menyaksi matahari terbenam di Santa Maddalena. Kampung kecil ini terkenal dengan gereja ikonik yang berlatarbelakangkan banjaran gunung Odle.
Ketika cahaya keemasan matahari petang menyinari gunung dan padang rumput di sekelilingnya, suasana yang terhasil sangat menenangkan dan cantik. Tidak hairanlah lokasi ini sering menjadi tumpuan jurugambar dari seluruh dunia.

Satu lagi pengalaman menarik ialah menaiki bot di Lago di Braies. Tasik yang terkenal dengan airnya yang berwarna biru kehijauan ini sering dianggap antara tasik paling cantik di Itali.
Mendayung bot kayu di atas permukaan air yang tenang sambil dikelilingi gunung-ganang memberikan pengalaman yang sangat istimewa.
Pemandangan di sini begitu indah sehingga sukar untuk percaya ia benar-benar wujud. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menaiki kereta kabel ke Seceda. Dari puncak, saya dapat melihat pemandangan pergunungan yang sangat luas dengan formasi batuan yang unik dan dramatik.
Tempat ini merupakan antara lokasi paling ikonik di Dolomites dan sering menjadi impian ramai pengembara serta jurugambar landskap.
Sebelum meninggalkan Dolomites, saya sempat mendaki ke viewpoint Cadini di Misurina. Saya disajikan dengan panorama rabung gunung yang tajam dan dramatik, menjadikannya antara pemandangan paling menakjubkan sepanjang perjalanan saya di Dolomites.
The post Meneroka Dolomites syurga tersembunyi di Itali appeared first on Kosmo Digital.
