Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Sebuah sindiket scammer yang beroperasi di Kuantan dengan menyasarkan warganegara Amerika Syarikat berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan polis di sebuah premis di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu pihaknya menahan seramai 16 orang suspek berusia 24 hingga 51 tahun untuk siasatan lanjut.
“Suspek yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Taiwan dan 12 warga Filipina iaitu empat lelaki dan lapan wanita.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya 15 buah komputer riba, 21 buah telefon bimbit, sebuah ‘router’, sebuah tetikus komputer, lima helai baju kemeja, dua helai ‘blazer’ dan empat unit ‘epaulette’ dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM55,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azry Akmar, kesemua 16 suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati premis tersebut dipercayai dijadikan sebagai pusat operasi Call Centre yang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis.
Katanya, sindiket ini dipercayai menyasarkan mangsa warganegara Amerika Syarikat bagi memperdaya mereka untuk menyerahkan wang melalui pelbagai helah dan modus operandi yang telah dirancang.
“Siasatan awal turut mendapati dua suspek warga Taiwan dipercayai bertindak sebagai dalang atau mastermind, manakala dua warga Malaysia berperanan sebagai ‘runner’ dan pemandu.
“Baki suspek warga Filipina dipercayai berperanan sebagai ejen khidmat pelanggan yang berhubung secara langsung dengan mangsa,”ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis atau wakil mana-mana agensi penguat kuasa.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai arahan yang diterima melalui telefon, tidak mendedahkan maklumat perbankan atau membuat sebarang transaksi kewangan tanpa membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang sah.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan boleh disalurkan kepada pihak polis atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan segera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket scammer sasar warga AS beroperasi di Kuantan tumpas appeared first on Kosmo Digital.
