Auto Added by WPeMatico

![]()
PEKAN – Polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan kes jual beli sijil cuti sakit (MC) palsu yang dipercayai aktif di daerah ini, menjadikan keseluruhan tangkapan setakat ini seramai sembilan orang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, empat suspek terbaharu itu ditahan hasil siasatan susulan yang dijalankan selepas penahanan lima individu sebelum ini.
Menurutnya, mereka yang ditahan itu berusia lingkungan 40 tahun dan kini sedang melalui proses siasatan lanjut.
“Sebelum ini kita tahan lima orang, kemudian hasil siasatan susulan kita menahan empat lagi individu menjadikan jumlah keseluruhan sembilan orang.
“Ketika ini kita sedang mengambil keterangan bagi melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang akhbar pada Program Penyerahan Memorundum Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Menurut Yahaya , tempoh reman terhadap lima suspek yang ditahan sebelum ini tamat hari ini dan mereka telah dibebas dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan sebaik sahaja siasatan selesai untuk tindakan selanjutnya.
“Kita masih menyiasat tempoh sebenar kegiatan berkenaan beroperasi serta rangkaian individu yang terlibat,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan lima individu termasuk seorang jururawat klinik kerajaan di daerah ini direman tiga hingga empat hari kerana disyaki terbabit dalam urusan jual beli MC palsu. – KOSMO! ONLINE
The post Empat lagi ditahan dalam sindiket MC palsu appeared first on Kosmo Digital.
